Kadazan
Kadazan atau dikenali juga sebagai Tuhun Kadazan yang bermaksud "Orang Kadazan" dalam bahasa Kadazan ialah sebuah kelompok etnik Bumiputera di Negeri Sabah dalam negara Malaysia. Kumpulan etnik ini menetap di kawasan tanah datar dalam Bahagian Pantai Barat Sabah iatu spesifiknya di Daerah Penampang dan Daerah Papar serta Daerah Membakut dalam Bahagian Pedalaman dengan populasi seramai 220,000 orang pada 2018. Pesta Kaamatan adalah perayaan tahunan yang disambut oleh Orang Kadazan pada setiap bulan Mei. Orang Kadazan bertutur dalam Bahasa Kadazan iatu salah satu bahasa Austronesia dalam keluarga Dusunik. Nama "Kadazan" bermaksud "anak negeri" dalam Bahasa Kadazan.
Kawasan ramai penduduk | |
---|---|
Malaysia: (Sabah,Labuan) | |
Bahasa | |
Kadazan, Melayu, Inggeris | |
Agama | |
Kristian, Islam, Momolianisme | |
Kumpulan etnik berkaitan | |
Kadazan-Dusun, Dayak, Murut, Lundayeh / Lun Bawang, Rungus, Orang Dusun, Orang Sungai, Idahan |
Salah satu tarian ikonik Negeri Sabah iatu Sumazau adalah tarian tradisional etnik Kadazan dari Penampang. Kadazan juga terkenal dengan sejenis makanan tradisional seakan-akan sushi iatu Hinava.
Bahasa Kadazan atau "Coastal Kadazan" tergolong dalam keluarga Dusunik. Bahasa ini unik kerana merupakan salah satu daripada hanya tiga bahasa Austronesia yang bercirikan konsonan /z/ dan /v/ selain bahasa Tsou di Taiwan dan bahasa Malagasy di Madagascar. Pada hari ini terdapat tiga dialek dalam bahasa Kadazan iatu Kadazan Penampang, Kadazan Papar dan Kadazan Membakut. Dialek Penampang dan Papar adalah mirip namun Dialek Membakut agak berbeza kerana ia adalah bahasa Kwijau yang terKadazanisasi. Dialek Penampang sering digunakan sebagai dialek pertuturan antara-dialek Kadazan dan digunapakai dalam Segmen Bahasa Kadazan, siaran radio Sabah Vfm.
Kadazan sangat berkait rapat dari segi bahasa dan budaya dengan etnik Dusun. Bahasa Kadazan dan Bahasa Dusun yang "mutually-inteligible" (saling memahami antara bahasa) tergolong dalam keluarga bahasa Dusunik. Seperti juga orang Dusun, orang Kadazan juga percaya nenek moyang mereka berasal dari penempatan Nunuk Ragang. Gabungan etnik Kadazan dan Dusun membentuk Kadazandusun iatu bangsa bumiputera terbesar di Negeri Sabah. Etnik Rungus dan Orang Sungai juga tergolong dalam Kadazandusun. Pemimpin bangsa Kadazandusun dikenali sebagai Huguan Siou yang bermaksud "pemimpin berani" dalam bahasa Kadazan. Huguan Siou yang pertama (1960-1976) ialah Tun Mohammad Fuad Stephens, seorang berbangsa Kadazan-Australia yang lahir di Kudat semasa zaman pemerintahan SBUB di Borneo Utara. Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun atau Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA) telah ditubuhkan pada tahun 1963 oleh pemimpin-pemimpin Kadazan di Penampang untuk memelihara budaya dan tradisi orang Kadazan. Hongkod Koisaan iatu pusat kebudayaan Kadazandusun dan pentadbiran KDCA terletak di Penampang (berdekatan ibu negeri Sabah Kota Kinabalu) iatu satu-satunya daerah yang majoriti penduduknya berbangsa Kadazan.
Pada hari ini majoriti Orang Kadazan beragama Kristian Katolik. Ada juga yang beragama Islam dan yang masih menganut agama tradisional Kadazandusun iatu Momolianisme. Bobohizan adalah bomoh kaum Kadazan. Kadazan adalah kaum peribumi yang terawal menerima agama Kristian melalui usaha paderi-paderi Katolik dari Mill Hill Mission pada awal zaman pemerintahan SBBU. Gereja St. Michael, Penampang yang mula dibina pada tahun 1890 sebagai tempat ibadat orang-orang Kadazan Penampang yang memeluk agama Kristian merupakan gereja kedua tertua di Sabah.
Sebelum kedatangan British, Orang Kadazan adalah salah satu kaum peribumi Borneo yang mengamalkan adat mengayau atau pemburuan kepala. Salah satu legenda pemburu kepala Kadazan yang paling terkenal ialah Monsopiad. Tengkorak-tengkorak yang diperolehi oleh beliau masih ada pada hari ini dan dipamerkan di Kampung Kebudayaan Monsopiad yang terletak di Kampung Kuai Kandazon Penampang.
Asal usul istilah 'Kadazan'
suntingPenyatuan suku-suku membentuk Bangsa Kadazan
Sebelum nama "Kadazan" digunapakai, orang Kadazan termasuk dalam istilah "Dusun" oleh Empayar Brunei untuk merujuk kepada suku-suku peribumi yang berada dalam kawasan jajahannya di Pantai Barat Sabah. Istilah ini diteruskan dan diperluaskan untuk merujuk kepada seluruh penduduk asal Borneo Utara selain Murut oleh kerajaan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British (SBUB) dan kerajaan Borneo Utara British. Bagaimanapun sejak zaman SBUB lagi suku-suku berbahasa Dusunik di Pantai Barat Sabah seperti Tangaa', Bangkaakon, Papar (Kwijau Papar) dan Kuizou (Kwijau Membakut) telah bergabung dan memilih nama "Kadazan" sebagai identiti baru mereka. Penyatuan ini telah membentuk bangsa Kadazan.
Maksud istilah "Kadazan"
Walaupun tidak terdapat rekod sejarah yang sahih mengenai asal usul istilah "Kadazan", namun demikian satu kajian telah dijalankan oleh Richard Francis Tunggolou, di mana beliau telah menerangkan secara terperinci mengenai teori-teori megenai asal usul istilah "Kadazan". Antara akhir tahun 1950-an dan awal 1960-an, telah tersebar satu teori masyarakat yang mengatakan bahawa istilah "Kadazan" merupakan derivatif daripada perkataan "kakadazan" yang bermaksud pekan/bandar, atau "kadai" yang bermaksud kedai. Masyarakat juga membuat spekulasi bahawa istilah derivatif ini digunakan bagi merujuk kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pekan/bandar, atau berhampiran dengan kedai. Walau bagaimanapun, terdapat satu bukti penulisan bahawa istilah "Kadazan" telah lama digunakan sebelum tahun 1950-an. Menurut Owen Rutter (Pagan Borneo Utara, 1929, p31) dalam terjemahan ke bahasa melayu, "warga Dusun yang tinggal di kawasan Pantai Barat Utara biasanya merujuk dirinya sebagai Tulun Tindal (orang Tindal), manakala yang tinggal di kawasan jalur Pantai Barat, khususnya di Papar, merujuk diri mereka sebagai Kadazan".[1] Rutter mula tinggal dan bekerja di Sabah pada tahun 1910, dan hanya meninggalkan Sabah pada tahun 1914. Sepanjang tempoh ini, daerah Penampang dan Papar masih belum dibangunkan sebagai bandar/pekan, dengan itu menolak sama sekali teori derivatif daripada spekulasi masyarakat tempatan. Untuk carian maklumat yang lebih persis dan tepat tentang maksud sebenar istilah "Kadazan" ini, dua rahib tradisi kebudayaan Kadazandusun, yang juga disebut sebagai Bobolian(dusun) atau Bobohizan(kadazan) telah ditemuramah. Apabila bobolian yang berketurunan Dusun Lotud itu ditanya tentang makna dan definisi "Kadazan", jawapan beliau ialah "anak/rakyat negeri". Takrifan ini telah disahkan apabila bobohizan Dousia Moujing yang berketurunan Kadazan Penampang juga mengesahkan bahawa istilah "Kadazan" telah lama digunakan dalam merujuk kepada "orang asal negeri". Pengesahan ini telah membuktikan kenyataan penulisan Owen Rutter dalam bukunya.[2]
Krisis identiti "Kadazan atau Dusun?"
Pada tahun 1960-an, Huguan Siou Pertama Donald Stephens memperkenalkan istilah "Kadazan" untuk menggantikan istilah "Dusun" yang dianggap tidak sesuai kerana ia adalah eksonim. Istilah "Kadazan" mendapat sambutan oleh Orang Kadazan dan suku-suku Dusunik di Sungai Labuk, daerah Labuk-Sugut, Pantai Timur Sabah namun tidak diterima oleh suku-suku Dusun di daerah-daerah Utara dan Pedalaman Sabah. Keadaan ini telah menimbulkan krisis identiti "Kadazan atau Dusun" di mana Orang Kadazan mahu istilah Dusun ditukar kepada "Kadazan" manakala Orang Dusun beranggapan semua Orang Kadazandusun termasuk Kadazan adalah "Dusun". Bagaimanapun Orang Kadazan tidak mahu dipanggil sebagai "Dusun" manakala Orang Dusun tidak mahu dipanggil sebagai "Kadazan". Orang Dusun beranggapan Kadazan adalah hanya salah satu suku Dusun yang dipanggil Tangara atau Tangaa' dan istilah "Kadazan" juga adalah tidak sesuai kerana hanya merujuk kepada suku Tangara yang mendiami kawasan dataran Pantai Barat Sabah yang berdekatan pekan atau kakadayan. Kemuncak krisis ini berlaku pemimpin-pemimpin Dusun keluar dari KDCA (ketika itu masih dikenali sebagai KCA atau Kadazan Cultural Association) dan membentuk USDA (United Sabah Dusun Association).
Terbentuknya istilah "Kadazandusun"
Krisis identiti "Kadazan atau Dusun" berjaya diselesaikan melalui resolusi Kongress Kelima KDCA pada tahun 1989 yang menyatakan istilah Kadazan dan Dusun digabungkan menjadi Kadazandusun manakala "KCA" dijenamakan semula sebagai "KDCA" yang membawa maksud Kadazan Dusun Cultural Association manakala gabungan dialek Bundu dan Liwan serta beberapa perkataan dari dialek Kadazan dan Rungus dipilih sebagai bahasa rasmi Kadazandusun yang dikenali sebagai Bunduliwan.
Asal Usul dan Sejarah
suntingMenurut catatan Owen Rutter dalam bukunya Pagan of North Borneo 1929, orang Kadazan yang ketika itu dipanggil Dusun Putatan dan Dusun Papar merupakan suku yang mendiami kawasan dataran yang menjalankan penanaman padi sawah sebagai kegiatan ekonomi dan merupakan suku Dusun yang paling makmur selain suku Dusun Tuaran (Lotud). Orang Kadazan juga menjalankan kegiatan perdagangan dengan orang-orang Cina. Beliau mencatatkan bahawa terdapat kira-kira 80 orang Cina di Putatan (nama lama daerah Penampang pada zaman SBBU) dan kahwin campur antara orang Kadazan dan Orang Cina biasa berlaku malah beliau mencatat bahawa kebanyakkan Orang Kadazan di Penampang pada masa itu mempunyai darah keturunan Cina. Dalam buku tersebut beliau juga menggambarkan orang-orang Kadazan sebagai berfizikal bagus ("well-built") dan berkulit cerah.
Dalam buku tersebut juga dicatatkan bahawa Orang Kadazan mengamalkan aktiviti pemburuan kepala sebelum bersumpah taat setia pemerintahan SBBU yang melarang aktiviti tersebut. Pemburuan kepala dilakukan untuk melindungi wilayah orang Kadazan daripada serangan perompak atau lanun yang datang melalui laut untuk menjarah dataran Penampang. Suku Kadazan telah bangkit menentang pemungut cukai "buis" dari Kesultanan Brunei dalam Perang Kulintangan di Penampang. Kesan pemberontakan tersebut Sultan Brunei telah melantik Menteri Babu sebagai penguasa dan wakil pemerintahan Brunei di dataran Penampang serta menganugerahkan beberapa ketua suku dengan gelaran Datuk Panglima. Dalam catatan Owen Rutter juga menceritakan suku Kadazan juga terlibat dalam Perang Pogunon untuk melindungi pedagang-pedagang Tangaa' dan Bangkaakon daripada konflik antara suku Tagahas dan Liwan yang bersaing untuk menguasai aktiviti perdagangan di Tamu Pogunon.
Agama
suntingAgama orang-orang Kadazan dahulu adalah "Momolian". Sekarang, kebanyakan telah bertukar agama kepada Kristian dan Islam. Majoriti orang-orang Kadazan yang beragama Kristian adalah "Katolik".
Budaya dan masyarakat
suntingPesta menuai
suntingPesta menuai yang juga disebut sebagai "Tadau Tagazo Kaamatan" merupakan perayaan tahunan masyarakat Kadazan di Sabah yang diadakan pada setiap 30 dan 31 Mei. Menurut budaya turun temurun, Tadau Kaamatan diadakan selepas musim menuai padi untuk memuja semangat padi yang juga disebut sebagai "magavau" dalam bahasa Kadazan. Secara detailnya, "magavau" merupakan salah satu daripada upacara terpenting dalam perayaan Tadau Kaamatan.[3]
Kini, majoriti kaum Kadazan telah menganuti agama Kristian dan juga Islam. Walaupun Kaamatan masih dirayakan mengikut amalan tradisi tahunan, namun perayaannya sudah tidak lagi dibuat bagi memenuhi tuntutan adat dan tradisi spiritual nenek moyang, tetapi lebih kepada misi untuk memperingati dan menghormati adat dan tradisi nenek moyang. Hari ini, Kaamatan lebih simbolik kepada hari reuni bersama keluarga tersayang, dan juga hari untuk berpesta bagi kaum Kadazan-dusun. Secara domestiknya, Kaamatan hari ini dirayakan selari dengan tuntutan agama anutan dan juga kemahuan individu tersendiri; dengan pilihan samada mahu atau tidak menghidangkan makanan dan minuman tidak-halal seperti masakan daging babi dan arak. Pada peringkat negeri pula, pesta Kaamatan disambut dengan pelbagai warna warni tentatif pesta seperti persembahan seni tari kebudayaan, jualan tamu, warung minuman keras dan makanan tradisi, persembahan dan jualan kraftangan di rumah-rumah tradisi, pertandingan menyanyi sugandoi dan juga pertandingan ratu cantik Unduk Ngadau.[4]
Tarian sumazau
suntingTarian Sumazau hari ini sinonim dengan sambutan pesta Kaamatan. Lazimnya, tarian ini ditarikan oleh sepasang lelaki dan wanita yang wajib berbaju hitam, sigar bagi lelaki, dan saraung bagi wanita. Tarian ini biasanya diiringi dengan paluan tujuh atau lapan gong. Gerakan pemula bagi tarian sumazau ialah hayunan tangan kehadapan dan kebelakang sambil tubuh dienjut ke kiri dan ke kanan. Setelah gerak tari pemula ini telah bersepadu dengan paluan gong, penari lelaki akan bertempik "heeeeee!" menandakan telah tiba masa untuk menukar gerak tari. Tempikan ini akan diikuti perubahan gerak tari dengan tangan diangkat secara mendepa ke sisi tubuh, dan gerakan pergelangan tangan ke atas dan bawah menyerupai gerakan burung terbang melayang.[5]
Pakaian tradisi
suntingLazimnya, pakaian tradisi kaum Kadazan disebut baju koubasanan, diperbuat daripada kain baldu berwarna hitam yang ditatah-rias menggunakan pelbagai hiasan seperti manik-manik, bunga-bunga, butang berwarna, renda keemasan, labuci dan juga tenunan. Pemakaian pakaian tradisi juga diikuti dengan pemakaian aksesori barangan kemas seperti gelang belilit, tali pinggang yang diperbuat daripada kepingan duit syiling besi, dan juga kerongsang. Aksesori lainnya ialah siga bagi lelaki, siung bagi wanita. Hiasan dan gaya pemakaian pakaian tradisi berbeza mengikut daerah dan boleh dirujuk di sini.[6]
Muzik tradisi
suntingKebanyakan alat-alat muzik di Sabah diperbuat daripada bahan-bahan asli. Seperti contoh, suling (seruling), sompoton dan togunggak diperbuat daripada buluh bambu.
Alat-alat muzik di Sabah dikelaskan kepada Kordofon(tongkungon, gambus,sundatang atau gagayan), Erofon(suling, turali atau tuahi, bungkau dan sompoton), dan Idofon(togunggak, gong,kulintangan) dan membranofon (kompang,gendang atau tontog).
Alatan muzik yang lazim dimainkan di dalam upacara dan majlis Kadazan ialah gong, dan kulintangan. Paluan gong dengan iringan kulintangan biasanya berbeza mengikut daerah, dan paluan gong yang sering dimainkan di majlis kebudayaan rasmi ialah paluan gong daripada daerah Penampang.[7]
Kraftangan
suntingKaum Kadazan-dusun menggunakan bahan asli dalam menghasilkan kraftangan, termasuklah bambu, rotan, lias, labu air dan kayu. Antara hasil kraftangan yang sinonim dengan etnik kadazandusun ialah wakid, barait, sompoton, pinakol, topi siung, parang dan gayang.[8]
Sebelum hasil kraftangan ini dipromosi dan dikomersialkan sebagai ikon fesyen dan juga khazanah kebudayaan negeri Sabah bagi kaum Kadazandusun, sebahagian daripada hasil tangan ini dahulunya digunakan warga kadazandusun secara praktikal dalam kehidupan seharian. Wakid dan barait digunakan untuk mengangkat barang, khususnya hasil kutipan dari kebun. Pinakol pula digunakan dalam upacara-upacara penting, seperti upacara perkahwinan dan juga kematian bergantung kepada warna manik pada pinakol yang digunakan. Sompoton pula digunakan masyarakat kadazandusun sebagai alat muzik. Parang dan gayang pula digunakan dalam aktiviti berkebun, menebas semak dan juga sebagai senjata pada zaman perang saudara yang secara tidak langsung telah membuatkan etnik kadazandusun pada zaman itu digelar sebagai pengait, ataupun pemburu kepala.[9]
Pemburu kepala
suntingAmalan memburu kepala merupakan salah satu tradisi kuno yang pernah diamalkan oleh masyarakat Kadazandusun.[9] Pemenggal kepala ini digelar sebagai pengait atau tonggorib.[10] Kepala musuh yang dipenggal akan dibawa pulang bukan sahaja sebagai trofi kemenangan, tetapi juga sebagai objek pemujaan roh dan amalan perubatan. Pemenggalan kepala tidak dilakukan untuk tujuan perang semata-mata, tetapi juga untuk memenuhi tuntutan persepsi masyarakat pada zaman itu, dan juga memenuhi syarat ritual-ritual kuno.[11] Masyarakat kuno Kadazandusun meletakkan keperkasaan seorang lelaki pada kekuatan fizikal dan keberaniannya untuk berperang dan memenggal kepala musuh. Etnik yang terkenal dengan amalan memenggal kepala di Sabah ialah Kadazandusun, Rungus dan Murut. Pantang utama amalan memenggal kepala ialah, musuh wajib dalam keadaan masih hidup saat kepalanya dipenggal. Ini kerana kepala yang dipenggal daripada orang yang telah meninggal tidak bermakna untuk disimpan.
Terdapat lima faktor utama yang membetuk objektif pemenggalan kepala dilakukan.
- Bagi situasi perang besar
- Kepala pihak musuh dipenggal untuk tujuan membuktikan kekuatan pahlawan dan puak
- Pengumpulan kepala pihak lawan sebanyak yang mungkin (lebih banyak kepala bermaksud telah banyak musuh yang telah berjaya dikalahkan)
- Kepala akan disimpan di dalam rumah tengkorak(bangkawan) milik puak yang menang.[12][13]
- Bagi situasi perang kecil atau perang keluarga
- Kepala pihak musuh dan keluarga dipenggal dengan tujuan menghapuskan keluarga musuh secara total
- Kepala musuh akan disimpan di rumah keluarga yang menang[13]
- Bagi tujuan memperkasakan kelelakian
- Seorang lelaki wajib memenggal kepala untuk menjadi lelaki perkasa kalau tidak mahu dianggap sebagai pengecut
- Lelaki yang tidak berani/pernah memenggal kepala musuh tidak layak memiliki pasangan hidup kerana dikhuatiri tidak akan dapat melindungi isteri dan keluarganya[13]
- Bagi tujuan menjadi ketua kampung
- Lelaki wajib memperoleh sekurang-kurangnya 10 kepala musuh bagi memperoleh kehormatan daripada puaknya
- 10 kepala ini juga penting bagi meyakinkan puaknya bahawa dia layak mengetuai perang[13]
- Bagi tujuan memperkasakan kegagahan seorang pahlawan
- Masyarakat dahulu percaya bahawa kekuatan dan semangat musuh akan diperoleh oleh pahlawan yang memenggal kepalanya[13]
Kepala-kepala yang dipenggal akan disimpan dan dijaga rapi dengan menggunakan amalan dan ritual kuno. Masyarakat dahulu percaya bahawa roh dan semangat seseorang individu terletak pada kepalanya yang disebut sebagai "tandahau". Oleh itu, kepala-kepala ini tidak hanya disimpan sebagai trofi kemenangan semata-mata, tetapi juga digunakan sebagai objek dalam ritual keagamaan dan juga perubatan.[10]
Antara kegunaan kepala-kepala ini ialah sebagai penjaga rumah. Masyarakat Kadazandusun kuno percaya bahawa sebuah rumah harus mempunyai penjaganya. Maka, mereka akan menggunakan semangat 'tandahau' daripada kepala ini bagi tujuan melindungi rumah dan penghuninya daripada serangan musuh dan binatang buas. Kegunaan kepala-kepala ini juga penting untuk diletakkan di bawah jambatan yang baru dibina. Masyarakat kuno Kadazandusun percaya bahawa setiap sungai ada semangat air yang juga disebut sebagai "tambaig". Kepala-kepala ini akan diletak atau digantung pada jambatan sebagai persembahan damai buat tambaig supaya jambatan yang dibina tidak dirobohkan oleh tambaig. Kepala-kepala ini juga digunakan oleh bobohizan atau bobolian sebagai tujuan perubatan, dan pemujaan roh nenek moyang.[10][11]
Senjata yang lazim digunakan pahlawan kuno masyarakat Kadazandusun untuk memburu kepala adalah Ilang sakuit/mandau, gayang dan juga tandus/adus. Peralatan lain yang wajib ada ketika memburu kepala adalah taming kayu yang digunakan sebagai perisai.[13][10]
Lihat juga
suntingCatatan
sunting
Rujukan
sunting- ^ Rutter, Owen (1 Januari 1929). "The Pagans of North Borneo". Universiti Oxford. Dicapai pada 18 Mac 2018.
- ^ Essays, UK (16 Mei 2017). "Origins Of The Kadazan People". UK Essays. Dicapai pada 30 November 2019.
- ^ Admin, Dbp. "PESTA MENUAI". Dewan Bahasa dan Pustaka. Dicapai pada 6 September 2018.
- ^ Unnip Abdullah, Mohn Izham (29 Mei 2019). "Kemuncak sambutan Kaamatan: Ribuan pengunjung banjiri Hongkod Koisaan". Berita Harian. Dicapai pada 27 Disember 2019.
- ^ A. Majik, Suheimi (20 Mei 2019). "Tarian Sumazau, lambang falsafah etnik Kadazandusun di masa silam". The Patriots Asia. Dicapai pada 26 November 2019.
- ^ Edu, Sabah. "Pakaian Tradisi". Sabah Edu. Dicapai pada 6 September 2018.
- ^ Edu, Sabah. "Muzik Tradisional". Sabah Edu. Dicapai pada 6 September 2018.
- ^ Jabatan, Penerangan (9 April 2018). "Kraftangan Tradisi Imbau Memori Zaman Kanak-kanak". Utusan Borneo. Dicapai pada 6 September 2018.
- ^ a b Unnip Abdullah, Mohn Izham (13 Oktober 2018). "Kisah pengait, pemburu kepala perlu dikaji, dibukukan". Berita Harian. Dicapai pada 27 September 2018.
- ^ a b c d Bujang, Haslina (21 Mac 2019). "Pengait @ Tonggorib: Pemburu Kepala di Sabah". The Patriots Asia. Dicapai pada 24 Disember 2019.
- ^ a b Sintian, Minah (20 Januari 2014). "Amalan Memotong Kepala dalam Masyarakat Primitif Kadazandusun: Survival atau Budaya?". ResearchGate. Dicapai pada 21 Disember 2019.
- ^ Unnip Abdullah, Mohn Izham (18 Jun 2015). "Tengkorak musuh bukti kegagahan Pahlawan Monsopiad". Berita Harian. Dicapai pada 23 Disember 2019.
- ^ a b c d e f Madkauw, Faridah. "ADAT MEMENGGAL KEPALA DI SABAH". Berita Harian. Dicapai pada 23 Disember 2019.