Penempatan Muslim Lucera
Penempatan Muslim Lucera merupakan hasil keputusan Frederick II dari Dinasti Hohenstaufen (1194–1250) untuk memindahkan 20,000 orang Muslim Sicilia ke Lucera, satu penempatan di dalam Apulia di selatan Itali. Penempatan tersebut berkembang maju selama 75 tahun. Pada tahun 1300, ia dijarah oleh pasukan tentera Kristian Carlo II dari Napoli dan penghuni Muslimnya diusir keluar atau dijual sebagai hamba.[1]
Peristiwa-peristiwa sebelum
[sunting | sunting sumber]Wilayah-wilayah Sicilia yang diwarisi Frederick II daripada ibunya Constance dari Sicilia tidak sahaja membawa kekuasaan ke atas majoriti Katolik Rom di pulau itu, tetapi juga ke atas sebilangan besar penganut gereja Ortodoks Yunani, Yahudi dan Islam. Muslim regno adalah sebuah masyarakat majmuk yang mengandungi orang Arab (tertumpu khususnya di dalam segitiga yang terhasil oleh Mazara del Vallo-Monreale-Corleone), orang Barbar (kebanyakannya mendiami Agrigento dan wilayahnya), kumpulan kecil orang Parsi (di kalangan mereka, khususnya masyarakat Khwarizmi di Palermo), dan sebilangan orang tempatan yang agak besar memeluk Islam semasa pemerintahan Islam di Sicilia.
Naiknya Frederick ke atas takhta tidak membawa keamanan sosial dan agama kepada Sicilia. Rupa bumi pulau itu hakikatnya memudahkan tindakan penentangan kumpula-kumpulan Muslim yang berharap untuk mengembalikan kekuasaan Islam di tanah yang dipanggil pada awalnya dalam bahasa Arab Al-ard al-Kabirah, "Tanah Besar', dan kemudian Siqilliyyah.
Kumpulan-kumpulan orang Islam yang lebih degil menubuhkan pangkalan-pangkalan penentangan di tengah dan barat Sicilia, sekitar Iato dan Entella. Di Entella, penentangan itu diketuai oleh seorang wanita Muslim yang dicatatkan di dalam babad Kristian sezaman sebagai “Virago dari Entella”.[2]
Kesudahannya, setelah kebanyakan orang Islam yang kaya dan berkuasa telah kembali ke Afrika Utara, pada tahun 1220 Frederick II bertekad untuk mengusir saki-baki orang Islam dari Sicilia, atau sekurang-kurangnya kumpulan-kumpulan yang kurang menurut kata di kalangan mereka, yang terdiri daripada saki-baki kepemimpinan yang penting bagi masyarakat orang Islam, orang-orang ternama, ulama dan para pahlawan bersama keluarga mereka, dan menempatkan semula mereka di selatan tanah besar Itali.
Kawasan-kawasan Lucera (di Apulia, bertarikh dari 1224), Girofalco (kini Girifalco, di Calabria) dan Acerenza (di Lucania) terpilih bagi penempatan semula itu. Kumpulan-kumpulan orang Islam Sicilia yang lebih kecil juga diusir ke kawasan-kawasan Stornara, Casal Monte Saraceno dan Castel Saraceno serta ke Campania.[3]
Populasi keseluruhan masyarakat Islam ini dianggarkan oleh kebanyakan sarjana moden sekitar 60,000 orang, menilai daripada kemampuan masyarakat ini membekalkan raja Sicilia kontingen tentera sekitar 14 hingga 15,000 orang, 7 hingga 10,000 daripadanya dilaporkan oleh sumber sezaman telah sebenarnya digunakan dalam Pertempuran Cortenuova.[4] Pasukan tentera ini, kebanyakan mereka adalah pemanah bersenjata ringan dan ramai juga yang dilatih menggunakan tarbil,[5] terdiri daripada pengawal peribadi yang setia kepada dinasti Hohenstaufen, memandangkan mereka tidak hubungan dengan saingan politik "Keluarga Swabia" dan bersedia untuk memerangi - dengan ganas walaupun pada standard sezaman - penduduk tempatan, dan bergantung sepenuhnya kepada pemerintah mereka.
Pada tahun 1239, Frederick II mengarahkan penumpuan masyarakat Islam di Lucera dan Apulia, satu perintah yang sebahagian besarnya dikuatkuasakan. Menjelang tahun 1240, penempatan semula itu berlangsung, dengan 20,000 orang Islam menetap di Lucera, 30,000 di bahagian-bahagian Apulia lain yang berdekatan dan baki 10,000 orang ditempatkan di dalam komuniti di luar Apulia.
Di dalam persekitaran yang dikawal ini, mereka tidak dapat mencabar kekuasaan raja dan masih memberi manfaat kepada istana dengan cukai dan khidmat tentera.
Di Lucera (Lucaera Saracenorum atau Lugêrah dalam sebutan bahasa Arab), ibukota de facto politik dan budaya bagi masyarakat Islam ini dan juga kediaman diraja yang penting bagi pemerintah Swabia, 20,000 orang Islam Sicilia tinggal selama lebih kurang 80 tahun, hingga tahun 1300, apabila masyarakat mereka dipencarkan atas arahan pemerintah baru Angevin Charles II dari Napoli.
Ciri-ciri Penempatan
[sunting | sunting sumber]Pakar dalam pertanian, orang Islam itu diberi kuasa untuk bekerja di ladang di Lucera sebagaimana yang dilakukan mereka di Sicilia. Mereka diberi kuasa untuk membeli dan memiliki tanah ladang dan rumah, di dalam dan juga di luar kota yang berdekatan. Pada keseluruhannya cukai-cukai yang dibayar orang Islam Lucera ditetapkan sekitar 10% daripada pendapatan mereka.[6] Aktiviti-aktiviti lain yang dibenarkan kepada mereka adalah perniagaan, perubatan, dan pelbagai ketukangan.[perlu rujukan] Sebagai petani mereka menanam gandum durum, barli, kekacang, anggur dan buah-buahan lain. Orang Islam juga memelihara lebah untuk mendapatkan madunya.[7]
Dari tahun 1234, Lucera menjadi pusat bagi salah satu pasar perdagangan utama yang diberi kuasa di dalam kerajaan Sicilia, satu daripada tujuh yang diberi kuasa di dalam regno yang mengambil tempat dari 24 Jun hingga 1 Julai setiap tahun; pedagang Muslim tempatan diberi kuasa untuk mengambil bahagian dalam semua pasar lain di dalam kerajaan itu selain dari Sicilia.
Ketegangan dengan populasi Kristian mula nyata, dengan orang Kristian kerap berunding dengan Frederick II mengadu tentang kemurahan hati yang ditunjukkan kepada orang Islam.[perlu rujukan]
Satu cubaan oleh sebahagian orang Islam Lucera untuk kembali kepada Sicilia pada tahun 1239 telah dihalang dengan penggunaan kekerasan oleh pihak berkuasa empayar yang menghantar kembali ke Lucera seramai mereka yang berjaya mendarat di pulau kelahiran mereka.[8] Dari tahun 1240 penempatan semula itu di tanah besar Itali dianggap disempurnakan, kerana pada tahun 1239 satu babad melaporkan, kemungkinan dibesar-besarkan, bahawa terdapat tidak lebih daripada 12 orang Kristian di dalam keseluruhan kota Lucera.
Penyebaran agama Kristian di koloni Muslim Lucera dilakukan oleh rahib-rahib Dominic yang di bawah lesen maharaja seperti yang diminta oleh Paus, diberi kuasa untuk berdakwah dan cuba mengkristiankan infedeli (orang tidak beriman), termasuklah orang Yahudi di kota itu. Hasilnya lazimnya mengecewakan, di sebalik cubaan oleh Gereja Katolik Romawi pada tahun 1215 untuk melaksanakan langkah-langkah diskriminasi dalam Persidangan Lateran Keempat, bahawa orang Islam dan Yahudi (ditakrifkan sebagai servi camerae, iaitulah milikan peribadi Raja[9]) memakai pakaian yang memudahkan pengenalan mereka.[10] Langkah ini bagaimana pun disertakan dengan kebenaran maharaja di dalam Kerajaan Sicilia kepada orang Yahudi di yang ramai Trani untuk sebuah sinagog baru.
Masyarakat Muslim Lucera mempunyai kebebasan penuh untuk mengamalkan agama mereka. Ia mempunyai masjid jameknya sendiri, madrasah al-Quran (Agarenorum gymnasia) dan seorang qadi yang dapat mengadili tuntutan antara orang Islam menggunakan undang-undang syariah Islam.
Aktiviti utama lelaki masyarakat Islam Lucera ialah perkhidmatan dalam tentera raja; setiap aktiviti lain adalah sampingan, yang juga diingini oleh pemerintah Swabia.[11] Mereka begitu dihargai kerana pemanah mereka, yang berjuang untuk pemerintah Swabia dalam kempen mereka di Itali, dan untuk pemerintah Angevin Carlo I di "Romania" dan Albania.[12] Beserta bayaran biasa, bagi kes penghargaan yang amat terhadap kelakuan dan keberanian, askar mungkin diberikan pengecualian individu atau keluarga daripada cukai.
Epilog
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 1266, Manfred mempunyai sepasukan pemanah Lucera bersamanya ketika dia ditewaskan dalam Pertempuran Benevento. Pada tahun berikutnya Lucera memberontak terhadap penakluk dari Angevin. Selepas kepungan yang susah dan berat, Charles dari Anjou mengekalkan koloni Muslim itu, dengan mengesahkan semua keistimewaannya yang ada, sebagai pertukaran kepada bayaran levi yang berat. Pemerintah Perancis yang baru itu kemudian menubuhkan koloni Provence seramai 240 buah keluarga bagi mengawal kubu pertahanan di Monte Albano yang mendominasi kota itu.
Kesederhanaan ini berkait dengan pengaturan Perang Salib Ke-8 yang akan tercetus tidak lama lagi, yang diketuai oleh saudara Charles I, Louis IX dari Perancis, yang bergerak pada tahun 1270 menentang Tunis, dan berakhir dengan kegagalan ekoran kematian raja itu akibat penyakit.
Dengan kematian Carlo I situasi berubah dengan drastik. Putera dan pewarisnya, Carlo II, pada tahun 1289 sudah pun membuat perancangan untuk mengusir orang Yahudi daripada wilayah kekuasaannya di Anjou dan Maine. Pada tahun 1300 penyelesaian muktamad yang serupa diambil untuk menyelesaikan permasalahan orang Islam Lucera.
Nampaknya, ekspropriasi yang diperoleh daripada langkah itu membolehkan raja Angevin itu melangsaikan beberapa hutangnya dengan pemilik-pemilik bank di Florence.[13]
Serangan itu, yang dibantu oleh pengkhianatan orang dalam, diketuai oleh Giovanni Pipino di Barletta, Conte Altamura.[14] Sekumpulan kecil keluarga Muslim Lucera yang kaya dan mempunyai hubungan dengan orang-orang yang berpengaruh memilih untuk memeluk agama Kristian.
Manakala majoriti penghuni Muslim kota itu disembelih atau - sebagaimana yang terjadi kepada hampir 10,000 orang daripada mereka - dijual sebagai hamba,[1] dengan ramai yang mencari perlindungan di Albania di seberang Laut Adriatik.[15] Masjid-masjid mereka dirobohkan atau bangunan-bangunan itu diubah menjadi gereja, seperti Gereja Besar S. Maria della Vittoria.[16] Malahan kebanyakan Muslim yang memeluk agama Islam dijual sebagai hamba.[17]
Bagaimana pun, dua tahun kemudian Carlo II membenarkan sekumpulan kecil orang Islam yang berasal dari Lucera menetap dalam komuniti mereka sendiri di Civitate tetapi komuniti itu tidak pernah menjadi sebarang kepentingan.
Selepas pengusiran orang Islam dari Lucera, Carlo II cuba menempatkan orang Kristian di kota itu, antara mereka askar dari Burgundy dan Provence serta petani-petani seramai mungkin. Saki-baki keturunan kolonis Provence ini, yang masih bertutur dalam dialek Perancis-Provence, masih wujud hingga hari ini di kampung-kampung di Faeto dan Celle di San Vito. Seorang biskop Dominik Dalmatia, Agostino Casotti dilantik oleh Paus Avignon pada tahun 1322 untuk bertanggungjawab ke atas kawasan uskup baru di Lucera di Santa Maria sebagai memenuhi permintaan raja Angevin untuk memulihkan kembali agama Kristian di kawasan itu. Peperangan dan pemberontakan tempatan kemudiannya memaksa sebahagian besar kolonis Perancis itu berpindah dari kota dan meninggalkan kawasan itu.[perlu rujukan] Dengan berlalunya masa, pengeluaran bijian menurun di kota itu, dan pada tahun 1339 Lucera dilanda kebuluran.[perlu rujukan]
Catatan
[sunting | sunting sumber]- ^ a b Julie Taylor. Muslims in Medieval Italy: The Colony at Lucera Diarkibkan 2010-08-19 di Archive-It. Lanham, Md.: Lexington Books. 2003.
- ^ Lévi-Provençal, É.: "Une héroine de la resistance musulmane en Sicile au début du XIIIe siècle", in "Oriente Moderno", XXXIV, 1954, pp. 283–288.
- ^ Tonino Del Duca: "Origine, vita e distruzione della colonia saracena di Lucera" (pdf file)
- ^ ""Giovanni Amatuccio: Saracen Archers in Southern Italy"". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-11-28. Dicapai pada 2015-08-01.
- ^ The so-called "shepherd's sling" was still largely employed by the saracens of Lucera but the "staff sling" [1] Diarkibkan 2018-01-04 di Wayback Machine was now their more characteristic sling weapon for military purposes, a weapon largely employed by all muslim forces around the Mediterranean.
- ^ Julie Anne Taylor, op. cit., p. 192.
- ^ Taylor, p.99.
- ^ Codice diplomatico dei saraceni di Lucera, Pietro Egidi ed., Naples: Pierro e Figlio, 1917, vol. 5, part 1, pp. 588–592 (esp. p. 590).
- ^ A social condition that was a sort of equivalent to that one of dhimmi in the Dar al-Islam.
- ^ Cesare Colafemmina, "Federico II e gli ebrei", in: Federico II e l'Italia. Percorsi, luoghi, segni e strumenti, Roma, Ed. De Luca-Editalia, 1995, p. 70.
- ^ Bilangan lelaki yang dikerahkan untuk khidmat tentera adalah sangat ramai sehinggakan tidak cukup lelaki dewasa tersedia untuk aktiviti lain, yang pada hakikatnya kerja-kerja masa aman apabila lelaki-lelaki itu dilepaskan dari pada tugas mereka. Malahan, peruntukan tanah terbukti sangat kecil untuk menyara kebanyakan keluarga Islam yang memilikinya.
- ^ I registri della cancelleria angioina, (a cura di R. Filangieri di Candida et alii), Napoli, Accademia Pontaniana, 1950 --, vol 32, reg. 15, p. 257, n° 583.
- ^ Codice Diplomatico... cit., n° 39, 355, 357 e 388 (citato da J.A. Taylor, art. cit., p. 197).
- ^ Codice Diplomatico... cit., n° 339 (citato da J.A. Taylor, art. cit., p. 197).
- ^ Ataullah Bogdan Kopanski. Islamization of Shqeptaret: The clash of Religions in Medieval Albania.
- ^ Taylor, p.187
- ^ Tonino Del Duca, op. cit.
Bibliografi
[sunting | sunting sumber]- Michele Amari, Storia dei musulmani di Sicilia, revisione a cura di C. A. Nallino, Catania, Romeo Prampolini, 1933–39
- Umberto Rizzitano, "Gli Arabi in Italia", in: L'Occidente e l'islam nell'Alto Medioevo (Settimane di studio del Centro italiano di studi sull'Alto Medioevo, XII), Spoleto, 1965, pp. 93–114
- Francesco Gabrieli, Umberto Scerrato, et al., Gli Arabi in Italia, Milano, Scheiwiller, 1979 (rist. Garzanti)
- Julie Anne Taylor, "Muslim-Christian Relations in Medieval Sothern Italy", in: The Muslim World, 97 (2007), pp. 190–199
- Julie Anne Taylor, Muslims in Medieval Italy: The Colony at Lucera, Oxford, Lexington Books, 2003.