[go: up one dir, main page]
More Web Proxy on the site http://driver.im/Pergi ke kandungan

Papan hitam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Fail:Papan hitam 1.jpeg
Papan hitam biasa
Fail:Papan hitam 2.jpeg
Papan hitam yang telah ditulis

Papan hitam ialah sejenis permukaan untuk menulis dan melukis menggunakan kapur (sejenis bahan yang diperbuat daripada kalsium sulfat) dan boleh digunakan berulang-ulang kali. Pada zaman dahulu, papan hitam pada asalnya hanyalah diperbuat daripada batu loh atau papan batu yang licin dan nipis berwarna hitam atau kelabu gelap. Fesyen yang terbaru pula biasanya berwarna hijau atau coklat dan oleh sebab itu, ia kadang-kadang dipanggil juga papan hijau.

Papan hitam biasanya digunakan dalam proses pengajaran di kebanyakan institusi pendidikan, walaupun dalam kebanyakan negara kaya, penggunaannya telah dihapuskan. Tulisan kapur pada papan hitam amat mudah dipadam dengan menggunakan kain, span atau pemadam papan hitam khas. Walau bagaimanapun, tulisan kapur yang ditulis di atas papan hitam yang basah agak sukar untuk dipadamkan. Oleh sebab itu, pengeluar papan hitam selalunya menasihatkan supaya papan hitam yang baru dibeli disapu dengan sisi sebatang kapur tulis sepenuhnya dan dipadamkan semula agar dapat digunakan seperti biasa.

Namun, papan hitam mempunyai sedikit kelemahan; ia menghasilkan habuk kapur dan jumlahnya bergantung kepada kualiti kapur tulis yang digunakan. Sesetengah orang tidak gemar akan situasi ini dan ada juga yang alah kepadanya. Pada masa yang sama, terdapat juga pertikaian tentang habuk kapur ini dengan masalah pernafasan. Habuk ini juga boleh menimbulkan masalah kepada bahan yang sensitif habuk seperti komputer.

Cakaran kuku pada papan hitam termasuk cakaran menggunakan objek keras seperti logam diketahui umum akan menghasilkan bunyi yang tidak digemari (mengilukan). Ramai juga yang enggan bukan sahaja melihat bahkan membayangkan bunyi ini.

Papan hitam juga selalu digunakan di berbagai-bagai tempat (seperti kedai arak),restoran sebagai alat pengiklanan bagi menu serta untuk merekod mata dalam acara-acara sukan di peringkat bawahan.

Papan hitam dengan mudahnya dibina daripada papan yang dicat dengan cat berwarna gelap yang tidak berkilat (biasanya hitam atau hijau gelap). Fesyen yang lebih moden mengandungi helaian plastik yang boleh digulung dengan bantuan 2 penggulung yang ditempatkan selari antara satu sama lain. Hal ini memberi ruang untuk tulisan tambahan sementara tulisan sebelumnya disimpan tanpa perlu memadamnya. Gred papan tulis yang paling tinggi diperbuat daripada porselin yang lebih kasar yang menyelaputi besi(hitam, hijau, biru, atau kadang-kadang warna -warna lain). Porselin adalah kukuh dan papan tulis yang dibina daripada porselin biasanya tahan sehingga 10-20 tahun walaupun digunakan secara intensif.

Batang-batang kapur yang berwarna putih dan pelbagai warna lain khas direka untuk menulis diatas papan hitam. Bahan ini sebenarnya bukan diperbuat daripada batu kapur bahkan daripada kalsium sulfat (lihat kapur tulis).


Papan hitam pada zaman dahulu hanyalah sekeping batu untuk mencatat nota di atasnya tanpa menggunakan kapur tulis kerana pada masa itu kapur tulis masih belum wujud lagi. Kanak-kanak hanya menggunakan batu kecil untuk menulis di atasnya. Tulisan dengan mudahnya dipadam menggunakan sehelai kain buruk bagi membolehkan nota atau masalah lain ditulis.

Pada lewat kurun ke-18 dan awal kurun ke-19, ‘’papan batu’’ ini sering digunakan di sekolah-sekolah di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain. ‘’Papan batu’’ ini ditambat pada rangka kayu untuk membantu mengukuhkannya dan mengelakkannya daripada retak. Pada masa itu, kertas amat mahal dan sukar untuk didapati dan oleh sebab itu, ‘’papan batu’’ ini amat sesuai sebagai pengganti.

Namun, pada suatu ketika, ‘’papan batu’’ ini mula digunakan dengan kaedah terbaru. Seorang guru geografi yang bekerja di Scotland dilaporkan telah mengambil ‘’papan batu’’ daripada pelajar-pelajarnya dan menggantungkannya pada dinding. Dia kemudiannya menggunakannya untuk membuat papan tulis yang boleh diubah untuk menulis maklumat geografi yang membolehkan pelajarnya membaca bersama-sama. Revolusi papan hitam bermula dari sini.

Idea ini diaplikasikan dengan cepat. Penggunaan papan hitam dalam cara ini yang pertama sekali direkodkan ialah di benua Amerika Utara, iaitu apabila papan hitam digunakan di Akademi Ketenteraan Amerika Syarikat di West Point. Akademi ketenteraan yang lain juga kemudiannya mengikut kaedah penggunaan papan hitam ini dan akhirnya, kaedah ini telah tersebar di semua sekolah-sekolah yang lain.

Kebanyakan pelombongan ‘’papan batu’’ di Amerika Syarikat bertempat di bahagian timur laut, iaitu di kawasan seperti Maine, Vermont, Pennsylvania dan sedikit di bahagian selatan di Virginia. Apabila Amerika Syarikat mula berkembang ke sebelah barat, jalan-jalan raya batu membolehkan ‘’papan batu’’ untuk dijadikan papan hitam dihantar dari negeri-negri ini ke sekolah sepanjang Great Plain dan kawasan prairi pada sekitar tahun 1840-an. Papan hitam ini tetap tersebar ke sekolah-sekolah kemana sahaja Amerika Syarikat berkembang.

Pada sekitar 1850-an, sekolah-sekolah telah dilengkapkan dengan papan hitam bersama-sama dengan beberapa perkakas lain seperti dapur (yang menggunakan kayu untuk memasak) dan bangku. Walau bagaimanapun, penggunaan papan hitam masih lagi belum menjadi sesuatu yang biasa.

Apabila teknologi semakin maju, batu yang digunakan untuk menulis pada papan hitam telah digantikan dengan kapur tulis. Kapur tulis yang lembut ini lebih mudah untuk digunakan pada papan hitam dan juga lebih mudah untuk dibersihkan. Kain buruk yang pernah digunakan untuk memadam tulisan pada papan hitam telah digantikan dengan pemadam papan hitam yang baru, yang mana mampu menyerap lebih banyak habuk kapur tulis dan mengelakkannya daripada berterbangan di udara. Papan hitam juga tidak lagi diperbuat daripada ‘’papan batu’’ tetapi kepingan besi dengan porselin.

Sejak kebelakangan ini, banyak sekolah telah menggantikan papan hitam dengan papan putih kerana bimbang dengan masalah kesihatan yang mungkin timbul akibat habuk kapur tulis.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]