Sharul Kamal
Sharul Kamal | |
---|---|
Kelahiran | Muhammad Shahrul Amin bin Kamarozaman 3 Disember 1996 |
Nama lain | Sharul AF2015, Sharul Kamal |
Pekerjaan | Penyanyi, pelakon, komposer, penulis lirik, pengacara |
Tahun aktif | 2015–kini |
Pasangan | Raihan Amilin Mohd Roszaimi (k. 2022) |
Kerjaya muzik | |
Genre | Pop, Balada, Pop Rock, Muzik country |
Instrumen | Vokal, Gitar |
Syarikat rakaman | Rhythm & Rhyme Entertainment |
Pengkarya berkait | Aepul Roza, Akim Ahmad, Stacy, Sufi Rashid, Syamel |
Muhammad Shahrul Amin Kamarozaman (lahir 3 Disember 1996) atau lebih dikenali sebagai Sharul Kamal merupakan seorang penyanyi, pelakon, komposer, penulis lirik dan pengacara televisyen Malaysia.[1] Beliau mula menceburi industri hiburan tanah air selepas berjaya memperoleh tempat keempat menerusi program realiti nyanyian popular, Akademi Fantasia musim ke-12 pada 2015.[2] Sharul juga merupakan vokalis kumpulan DUNYA yang muncul dengan lagu debut berjudul "Kuala Lumpuh".[3]
Kehidupan awal
[sunting | sunting sumber]Sharul dilahirkan pada 3 Disember 1996 di Port Dickson, Negeri Sembilan. Beliau merupakan anak kepada pasangan Kamarozaman @ Kamal dan Maznah Baba serta anak ketiga daripada empat orang adik-beradik yang kesemuanya lelaki.
Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Pondok As-Sofa, Rembau (kini dikenali sebagai Sekolah Tinggi Islam As Sofa)[4] dan Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Haji Abdul Samad (SDASA), Port Dickson, Negeri Sembilan.
Semasa di bangku sekolah, Sharul sangat aktif menyertai pelbagai pertandingan sukan dan kokurikulum. Beliau pernah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Qasidah dan Pertandingan Berzanji Peringkat Daerah Rembau ketika berusia sekitar 12 hingga 14 tahun. Selain itu, Sharul juga berjaya meraih tempat keempat dalam Pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan di mana beliau menghafal Al-Quran sehingga juzuk tiga.[4]
Sharul juga aktif bermain sukan bola sepak dan pernah menyertai Akademi Bola Sepak Yayasan Negeri Sembilan.[4] Bagaimanapun, Sharul berkata dia tidak berhasrat untuk meneruskan kerjaya dalam bidang itu kerana hanya menjadikan sukan tersebut sebagai hobi bagi mengisi masa lapang.
Beliau pernah melanjutkan pengajian dalam bidang Diploma Pengurusan Kreatif di Universiti Teknokogi MARA (UiTM) Puncak Perdana sehingga semester dua pada tahun 2014 hingga 2015.[4] Sharul menangguhkan pengajian semasa menyertai Akademi Fantasia dan mengambil keputusan untuk tidak menyambung semula pengajiannya atas sebab-sebab tertentu.
Akademi Fantasia 2015
[sunting | sunting sumber]Sharul tersenarai sebagai salah seorang daripada 16 calon pelajar yang dipilih untuk bersaing pada konsert penentuan bagi merebut tempat ke dalam Akademi Fantasia 2015.[5]
Beliau berjaya diterima masuk bersama 11 saingan lain sekaligus menjadikan dirinya peserta lelaki termuda dan satu-satunya peserta dari Negeri Sembilan pada musim itu.[6] Sharul berjaya melangkah ke peringkat akhir bersama tiga lagi rakan seperjuangannya iaitu Sufi, Syamel serta Bila dan dinobatkan sebagai pemenang tempat keempat AF2015.[7]
Berikut merupakan lagu-lagu tugasan yang dipersembahkan oleh Sharul ketika konsert mingguan Akademi Fantasia 2015 :
Konsert | Lagu Tugasan | Penyanyi Asal | Tema |
---|---|---|---|
Minggu 1 | "Kun Anta" | Humood Alkhudher | Penentuan |
Minggu 2 | "Lagu Untukmu" | Meet Uncle Hussain | Cinta |
Minggu 3 | "Apokalips" | Dato' M. Nasir | 90-an |
Minggu 4 | "Bangkit" | Aril Pilus | Bebas |
Minggu 5 | "Awas" | KRU | Runut Bunyi Filem (OST) |
"Negatif" | |||
Minggu 6 | "Patahnya Sayap Malam" | Masa | Rock |
Minggu 7 | "Bukan Cinta Biasa" | Dato' Sri Siti Nurhaliza | Ikon |
Minggu 8 | "Bila Tiba" | Ungu | Pilihan Media & Penonton |
"Like I'm Gonna Lose You" (duet bersama Bila) | Meghan Trainor | Duet | |
Minggu 9 | "Gadis Jolobu" | Dato' Hattan & W.A.R.I.S | World |
"Tak Kenal Maka Tak Cinta" (duet bersama Nourul Depp) | Roy & Fran | Duet | |
Minggu 10 (Minggu Akhir) | "Just The Way You Are" | Bruno Mars | Grand Finale |
"Hanya Kamu" | Dirinya Sendiri |
Kerjaya
[sunting | sunting sumber]Muzik
Sharul mula bergiat dalam industri seni sebagai penyanyi ketika berusia 19 tahun, selepas menyertai program realiti terbitan ASTRO, Akademi Fantasia musim ke-12 atau AF2015. Beliau mempertaruhkan single pertama berjudul 'Hanya Kamu' yang turut dipersembahkan pada konsert akhir program tersebut.[8] Single sulungnya itu berjaya mendapat sambutan yang baik daripada peminat sehingga muzik videonya meraih lebih 800 ribu tontonan di saluran YouTube.
Pada tahun 2016, Sharul memperluaskan bakatnya dalam bidang penciptaan dan penulisan lirik lagu menerusi single keduanya berjudul 'Dengar'. Lagu pertama ciptaannya itu telah mula dihasilkan semasa beliau menyertai program Akademi Fantasia. Single tersebut turut menjadi lagu runut bunyi dalam telefilem Jula Juli Bintang Cinta.
Setelah hampir dua tahun bernaung di bawah label Astro Talent Management (kini dikenali sebagai Rocketfuel Entertainment), Sharul memaklumkan kontraknya dan beberapa artis lain telah ditamatkan secara mengejut pada April 2017.[9] Selepas beberapa bulan, Sharul bernaung di bawah syarikat terbitan milik penyanyi Aepul Roza, ARE Studios. Beliau melancarkan single ketiganya berjudul 'Racun Rindu'.
Sharul kemudian menyertai syarikat rakaman Rhythm & Rhyme Entertainment (R&R) yang ditubuhkan pasangan penyanyi terkenal, Akim Ahmad dan Stacy.[10] Di bawah label itu, Sharul menghasilkan single keempatnya iaitu 'Cantik' yang turut menjadi lagu runut bunyi drama lakonannya, Senafas Rindu.
Bagaimanapun, selepas hampir empat tahun bergerak sebagai penyanyi, perjalanan karier nyanyiannya dilihat agak perlahan berbanding rakan-rakan seangkatan yang lain.[11]
Namun, nama Sharul mula menjadi perhatian selepas menyertai sebuah rancangan televisyen pertandingan muzik, Immortal Songs Malaysia pada tahun 2020.[12] Menerusi pertandingan itu, beliau mempersembahkan lagu 'Seruling Anak Gembala' yang telah digubah menjadi versi rock pada minggu penyanyi legenda pop yeh-yeh, Dato' Jeffrydin. Beliau melakar kejutan selepas dinobatkan sebagai pemenang susunan lagu terbaik pada minggu itu sekaligus berjaya menewaskan lima penyanyi lain.[13] Dalam satu kenyataan, Sharul mendedahkan kemenangannya ibarat 'rezeki terpijak' kerana penyertaannya dalam program tersebut hanya secara kebetulan bagi menggantikan penyanyi lain yang menarik diri pada saat akhir.[14]
Pada tahun 2021, Sharul tampil membuat pembaharuan dalam kerjaya muziknya dengan bergerak bersama kugiran (band) dikenali sebagai DUNYA, dianggotai oleh Sharul selaku vokalis, Odot Qreebo (pemain dram) dan Tuah Johari (pemain bass).[15] Sharul mempertaruhkan single debut bersama DUNYA bertajuk 'Kuala Lumpuh'. Lagu berentak pop rock itu merupakan hasil ciptaan beliau sendiri (menggunakan nama pena Amin), Hang Nadim (Akim Ahmad) dan Bunga Cantik (Stacy), manakala lirik ditulis sepenuhnya oleh Bunga Cantik.[16] Muzik video lagu tersebut berjaya meraih hampir 150 ribu tontonan di saluran YouTube dalam masa tiga minggu.
Lakonan
Beliau membuat penampilan sulung sebagai pelakon menerusi telefilem komedi, Ustaz Baru Nak Start yang ditayangkan di saluran Astro Ria pada Ogos 2016. Telefilem itu juga menjadi batu loncatan untuk beliau mencipta nama dalam bidang lakonan selepas mula diberikan tawaran sebagai peranan kecil dalam beberapa buah drama dan telefilem. Pada tahun yang sama, Sharul tampil dengan watak antagonis menerusi telefilem keduanya, Dengan Nama Allah yang turut menampilkan barisan pelakon hebat seperti Beto Kusyairi, Sherry Ibrahim dan Ika Nabella.
Sharul mula dikenali ramai selepas membawakan watak sebagai Syukri menerusi drama Adam Chempaka. Drama yang ditayangkan di Slot Lestary TV3 itu turut dibintangi gandingan serasi, Adam Lee dan Sweet Qismina.
Pengacaraan
Di samping karier nyanyian dan lakonan, Sharul turut mengorak langkah dalam bidang pengacaraan apabila diberi peluang mengendalikan sebuah rancangan travelog terbitan Kembara Sufi Production, Travelog Backpackers musim pertama. Menerusi program itu, beliau membawa penonton menjelajah tujuh buah negara di Semenanjung Balkan bagi memberikan input menarik sepanjang pengembaraannya.[17] Program yang bersiaran sebanyak 13 episod itu ditayangkan di saluran TV Okey (dahulu dikenali sebagai TVi) bermula 4 April 2019.[18]
Dalam pada itu, nama Sharul mula menjadi sebutan selepas videonya mengalunkan azan dalam sebuah masjid di Mesir semasa penggambaran program Travelog Backpackers musim kedua tular di laman sosial sehingga mendapat perhatian media Indonesia.[19]
Komedi
Sharul menyertai program realiti komedi terbitan ASTRO, Muzikal Lawak Superstar musim pertama pada 2019. Beliau bergabung bersama Eyya (Gegar Lawak) dan Pinky (Miss Lawak) menerusi kumpulan SEP, namun tersingkir di minggu kedua.[20]
Kehidupan peribadi
[sunting | sunting sumber]Dalam satu temu bual bersama Harian Metro pada 2018, Sharul mengakui sebelum ini beliau pernah mengalami kemurungan sehingga berat badannya turun mendadak selepas berasakan dirinya seperti dipinggirkan di dalam industri muzik. Berkat dorongan dan sokongan keluarga, beliau kembali bangkit meneruskan kerjaya nyanyiannya.[21]
“Keluarga saya sangat menyokong apa saja saya lakukan. Mereka sanggup membantu jika saya menghadapi masalah kewangan. Mendengar kata-kata selain melihat wajah mereka, terus saya tersedar. Saya fikir bodoh jika cepat mengalah. Tambahan pula saya teringat saat saya bersusah payah menyertai uji bakat AF. Bagaimana bersemangatnya saya mahu menyertai pertandingan nyanyian itu. Mulai saat itu, saya terus bangkit dan enggan mempedulikan kata-kata orang. Saya kena keluar dari persembunyian dan tidak musnahkan impian ini.”
Pada Februari 2020, Sharul dikejarkan ke hospital selepas disyaki mengalami simptom influenza MERS CoV atau COVID-19 ketika baru pulang menjalani penggambaran program Travelog Backpackers musim kedua di Mesir dan Arab Saudi.[22] Bagaimanapun, hasil keputusan ujian saringan menunjukkan beliau negatif virus itu.
Pada Jun 2020, Sharul meluahkan rasa syukur selepas ibunya, Maznah Baba mengambil keputusan untuk berhijab sepenuhnya. Perkongsian yang dimuat naik menerusi laman Twitter miliknya itu mengundang pelbagai respon positif daripada peminat.[23]
Pada 1 Januari 2022, Sharul sah bergelar suami kepada Pegawai Perhubungan Awam syarikat rakaman Rusa Music, Raihan Amilin Mohd Roszaimi dengan sekali lafaz di Masjid Kota Raja, Klang. Sebelumnya, pasangan ini telah mengikat tali pertunangan dalam sebuah majlis tertutup pada 3 Disember 2021.[24]
Diskografi
[sunting | sunting sumber]Single (Solo)
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk Lagu | Catatan |
---|---|---|
2015 | "Hanya Kamu" | Lagu debut |
2016 | "Dengar" | OST Jula Juli Bintang Cinta |
2017 | "Racun Rindu" | Terbitan ARE Studios |
2018 | "Cantik" | OST Senafas Rindu |
2020 | "Maaf" | Lagu pertama bergenre Folk-Country |
2022 | "Bunga Indah" | OST Seratus |
2024 | "Sifar" | OST Kelas Tahanan Cikgu Hiragi |
Single bersama
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk Lagu | Catatan |
---|---|---|
2021 | "Kuala Lumpuh" | Single debut kumpulan DUNYA |
2022 | "Bunga Angkasa" | bersama Aepul Roza |
Video Muzik
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk Lagu | Saluran YouTube |
---|---|---|
2015 | "Hanya Kamu" | Astro Gempak |
2019 | "Cantik" | RHYTHM & RHYME ENTERTAINMENT |
2020 | "Maaf" | |
2021 | "Kuala Lumpuh" | |
2022 | "Bunga Angkasa" | MVM Music |
Filemografi
[sunting | sunting sumber]Filem
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk | Watak | Catatan |
---|---|---|---|
2022 | Seratus | Hafiz | Filem pertama |
2024 | Mustaqim | Fauzi |
Drama
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2017 | Urusan Hati Cik Drama Queen | Fadil | Astro Ria | Drama pertama |
2019 | Senafas Rindu | Munir | ||
Adam Chempaka | Syukri | TV3 | ||
2021 | Kuali Mentua Lauk Menantu | Sharol | TV2 | |
2023 | Melastik Ke Hatimu 2 | TJ | TV3 | |
2024 | Bara Jiwa | Ajeed | DEGUP |
Telefilem
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk | Watak | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2016 | Ustaz Baru Nak Start | Ambia | Astro Ria | Telefilem pertama |
Dengan Nama Allah | Rahmat | |||
2018 | Esok Untuk Kita | Yusuf | NTV7 | |
Bukan Cerita Cinta Kita | Budin | Astro Ria | ||
2019 | Senafas Rindu Raya | Munir | ||
Kisah Seram Hostel | Ariff | Astro Citra | ||
2020 | Bujang Beraya Bersama | Fikri | TV Okey | |
Kisah Seram Hospital | Faizal | Astro Citra | ||
2021 | Puaka Hari Raya | Jep |
Televisyen
[sunting | sunting sumber]Tahun | Tajuk | Peranan | Saluran TV | Catatan |
---|---|---|---|---|
2015 | Akademi Fantasia (musim 12) | Peserta | Astro Ria | Pemenang tempat ke-4 |
2016 | MeleTOP Kebaboom | Artis Jemputan | Tetamu undangan bersama Bila AF2015 | |
Motif Viral | Artis Jemputan | Mempromosikan single 'Dengar' | ||
2018 | Travelog Backpackers (musim pertama) | Pengacara | TV Okey | Travelog Backpackers Di Balkan (13 episod) |
2019 | hlive! | Artis Jemputan | Astro Ria | Mempromosikan single 'Cantik' |
CCTV | Artis Jemputan | Edisi 11 Februari 2019 bersama pelakon drama Senafas Rindu | ||
Muzikal Lawak Superstar 2019 | Peserta | Astro Warna | MLS musim pertama (Kumpulan S.E.P) | |
2020 | Cef Barista | Pengacara | TV Okey | Menjelajah ke restoran dan kafe unik (13 episod) |
Malaysia Hari Ini | Artis Jemputan | TV3 | Edisi 10 Ogos 2020 | |
MPop! (2020) | Artis Jemputan | TV3, TV9 | MPop! episod 113 | |
Immortal Songs (2020) | Peserta | TV3 | Juara mingguan episod 6: Dato' Jeffrydin | |
2021 | Travelog Backpackers (musim kedua) | Pengacara | TV Okey | Travelog Backpackers Mesir (13 episod) |
Gempak TV | Artis Jemputan | Astro Ria | Mempromosikan single 'Kuala Lumpuh' | |
Selamat Pagi Malaysia | Tetamu Undangan | TV1 | Mempromosikan program Travelog Backpackers musim kedua | |
#HTV Hiburan TV | Artis Jemputan | TV2 | Mempromosikan single 'Kuala Lumpuh' | |
2024 | Famili Duo (musim 4) | Peserta | TV3 | bersama Tomok |
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ Norfaezah Sakri (23 Jun 2020). "Keluar AF pun orang tak kenal, Sharul Kamal pasrah lambat popular" mStar Online. Dicapai pada 05 Oktober 2021.
- ^ Budiey Isma (12 Oktober 2015). "Senarai Pemenang Akademi Fantasia 2015" Budiey.com. Sensasi Selebriti. Dicapai pada 06 Oktober 2021.
- ^ Anna Mohamed (06 Oktober 2021). "DUNYA, band baru Sharul Kamal selepas bergerak solo" URTV. Dicapai pada 07 Oktober 2021.
- ^ a b c d Mustazah GP (23 Februari 2020). "Biodata Penyanyi dan Pelakon Sharul Kamal" Iluminasi.com. Dicapai pada 07 Oktober 2021.
- ^ Feride Hikmet Atak (29 Julai 2015). "Edry Bakal Buat Perubahan Dalam AF 2015" mStar Online. Dicapai pada 07 Oktober 2021.
- ^ Feride Hikmet Atak (10 Ogos 2015). "Empat Peserta Tersingkir Dalam AF 2015" mStar Online. Dicapai pada 07 Oktober 2021.
- ^ Feride Hikmet Atak (05 Oktober 2015). "Bila, Syamel, Sufi, Sharul Ke Final AF 2015" mStar Online. Dicapai pada 07 Oktober 2021.
- ^ Rudy Imran Shamsudin (11 Oktober 2015). "Penentuan juara AF 2015" Harian Metro. Dicapai pada 07 Oktober 2021.
- ^ Nur Asyikin Mayudin (26 Ogos 2017). "Sharul (AF2015) Kesal Kontrak Ditamatkan Secara Mengejut" mStar Online. Dicapai pada 08 Oktober 2021.
- ^ Sudirman Mohd Tahir (06 Mac 2020). "Ekspresi Akim, Stacy" Harian Metro. Dicapai pada 08 Oktober 2021.
- ^ Qarami Hashim (13 Mac 2019)."Bersaing dengan BBNU, Sharul Kamal kena buat sesuatu untuk dikenali" mStar Online. Dicapai pada 09 Oktober 2021.
- ^ Norhayati Nordin (18 Ogos 2020). "Program Immortal Songs 'taruhan baharu' TV3" Harian Metro. Dicapai pada 10 Oktober 2021.
- ^ Najmi Suhaimi (05 Oktober 2020). "Saringan Sengit Immortal Songs Minggu Keenam, Haqiem Rusli VS Sharul Kamal" OhBulan. Dicapai pada 10 Oktober 2021.
- ^ Zaidi Mohamad (11 Oktober 2020). "Rezeki terpijak Sharul" BH Online. Dicapai pada 10 Oktober 2021.
- ^ Qarami Hashim (06 Oktober 2021). "Enam tahun bergerak solo... Sharul Kamal kini cuba nasib bersama band DUNYA" mStar Online. Dicapai pada 10 Oktober 2021.
- ^ Tengku Suzana Raja Mamat (8 Oktober 2021). "Sharul Kamal, anak didik Akim sedia goncang Dunya" Kosmo!. Dicapai pada 10 Oktober 2021.
- ^ Fiza Kamarudin (25 September 2017). "Tak Dapat Masuk AF, Dapat Jelajah Eropah" Gempak. Dicapai pada 11 Oktober 2021.
- ^ Budiey Isma (3 April 2019). "Kembara Balkan Sharul Kamal Dalam TRAVELOGUE BACKPAKERS" Budiey.com. Dicapai pada 11 Oktober 2021.
- ^ Syairah Abdul Lajis (08 Februari 2020). "Allahuakbar, merdunya..." Sinar Online. Dicapai pada 11 Oktober 2021.
- ^ Budiey Isma (09 Julai 2019). "SEP & BUNGA Tersingkir dari Muzikal Lawak Superstar" Budiey.com. Dicapai pada 11 Oktober 2021.
- ^ Najiy Jefri (23 Januari 2018). "Tak mudah mengalah" Harian Metro. Dicapai pada 11 Oktober 2021.
- ^ Qarami Hashim (23 Februari 2020). "Pulang dari Mesir... Sharul Kamal masuk hospital disyaki influenza MERS CoV" mStar Online. Dicapai pada 11 Oktober 2021.
- ^ Najiy Jefri (23 Jun 2020). "Sharul AF syukur ibu akhirnya bertudung" Harian Metro. Dicapai pada 11 Oktober 2021.
- ^ Nur Asyikin Mayudin (02 Januari 2022). "Penyanyi Sharul Kamal kahwin PR syarikat rakaman, pertama kali ‘dating’ selepas program Immortal Song" mStar Online. Dicapai pada 02 Januari 2022.