[go: up one dir, main page]
More Web Proxy on the site http://driver.im/Pergi ke kandungan

Serigala keemasan Afrika

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Serigala keemasan Afrika
Julat zaman: 1.3–0 Ma
Pleistosen Awal–kini
Canis anthus bea di Kawah Ngorongoro, Tanzania
Tidak dinilai (IUCN 3.1)
Pengelasan saintifik
Alam:
Filum:
Kelas:
Order:
Keluarga:
Genus:
Spesies:
C. anthus
Nama binomial
Canis anthus[1]
F. Cuvier, 1820
Subspesies

Serigala keemasan Afrika (Canis anthus), juga dikenali sebagai serigala keemasan atau serigala Afrika, ialah sejenis canid yang asli di Afrika Utara dan di Afrika Timur Laut. Spesies ini kerap di Afrika Utara-Barat dan di Afrika Utara-Timur dari Senegal hingga Mesir di Timur di dalam lingkungan termasuk Maghribi, Algeria, dan Libya di utara hingga Nigeria, Chad, dan Tanzania di selatan.[2] Ia merupakan canid teradaptasi gurun dan kerap di lapangan dan di kawasan steppe termasuk yang kekurangan air banyak.[3] Di Pergunungan Atlas, spesies ini telah terlihat pada ketinggian setinggi 1,800 meter.[4] Terutamanya, ia merupakan pemangsa yang menyasarkan invertebrat dan mamalia sebesar anak gazel tetapi haiwan lebih besar diambil juga kadang-kadang. Makanan lain termasuklah bangkai haiwan, buangan manusia, dan buah. Serigala Afrika merupakan haiwan monogami dan berwilayah yang struktur sosialnya termasuk kehidupan anak tahunan bersama dengan keluarga untuk membantu penjagaan anak lebih muda bagi induknya.[3]

Sebelum ini, ia dikelaskan sebagai varian Afrika bagi jakal keemasan Eurasia dengan sekurang-kurangnya satu subspesies (Canis anthus lupaster) yang pernah dikelaskan sebagai serigala kelabu. Pada tahun 2015, satu siri analisis terhadap DNA mitokondrion dan genom nuklear spesies ini menunjukkan bahawa ia sebenarnya berbeza daripada kedua-dua jakal keemasan dan serigala kelabu dan lebih berkait rapat dengan serigala kelabu dan koyote.[5][6] Walau bagaimanapun, ia tetap cukup rapat dengan jakal keemasan untuk menghasilkan anak kacuk seperti yang tertunjuk melalui ujian genetik terhadap jakal di Israel[5] dan uji kaji pembiakbakaan silang dalam kurungan pada abad ke-19.[7] Oleh sebab halaman jakal keemasan IUCN tidak terkemas kini sejak tahun 2008, keberbezaan serigala Afrika masih belum diiktiraf; maka status pemuliharaannya masih belum dinilai dan tidak ada anggaran populasi yang boleh harap yang tersedia.[8]

Ia memainkan peranan penting dalam sesetengah kebudayaan Afrika; dalam cerita rakyat Maghribi dan Mesir, ia dipandang sebagai haiwan yang tidak boleh dipercayai yang anggota badannya boleh digunakan untuk tujuan perubatan atau ritual[9][10][11] sementara ia sangat dihormati pula dalam agama Serer di Senegal selaku makhluk pertama yang dicipta oleh tuhan Roog.[12]

Nama tempatan atau asli

[sunting | sunting sumber]

Perihal fizikal

[sunting | sunting sumber]
Pelbagai fenotip C. anthus daripada morf kejakalan langsing hingga morf keserigalaan lebih tegap

Serigala Afrika merupakan canid kecil dengan kedua-dua jantina yang berukuran berat 7–15 kg (15–33 lb) dan tinggi semasa berdiri sebanyak 40 cm (16 in). Muncungnya dan telinganya agak panjang sementara ekornya agak pendek dengan ukuran panjang 20 cm (7.9 in). Warna bulu berbeza-beza mengikut individu, musim, dan geografi tetapi warna tipikalnya ialah kuning hingga kelabu keperak-perakan dengan anggota sedikit kemerah-merahan dan bintik hitam pada ekor dan pada bahu. Tanda tekak, abdomen, dan muka biasanya putih dan matanya berwarna kuning jingga. Betinanya mempunyai dua hingga empat pasang puting.[3] Walaupun secara luarannya ia serupa dengan jakal keemasan Eurasia (terutamanya di Afrika Timur), serigala keemasan Afrika mempunyai muncung yang lebih tajam dan gigi yang lebih tajam dan lebih teguh.[5] Telinga adalah lebih panjang pada serigala Afrika dan tengkoraknya mempunyai dahi yang lebih ternaik.[17]

Sejarah taksonomi

[sunting | sunting sumber]

Karangan awal

[sunting | sunting sumber]
Tengkorak serigala Afrika (kiri) dan jakal keemasan (kanan). Perhatikan dahi lebih ternaik[17] dan muncung kurang lebar[5] pada yang di sebelah kiri.

Aristotle mengarang tentang serigala yang hidup di Mesir dan menyebut bahawa ia lebih kecil daripada jenis Yunani. Georg Ebers mengarang tentang serigala yang merupakan antara haiwan suci Mesir dan memerihalkannya sebagai "keragaman lebih kecil" bagi serigala yang di Eropah, serta menyatakan nama Lykopolis, kota Mesir Purba yang dikhaskan kepada Anubis, yang memaksudkan "kota serigala".[18][19]

Serigala keemasan Afrika pertama kali diiktiraf sebagai spesies terpisah daripada jakal keemasan Eurasia oleh Frédéric Cuvier pada tahun 1820 yang memerihalkannya sebagai haiwan lebih elegan dengan suara lebih bermelodi dan bau kurang kuat. Nama binomial yang dipilih oleh beliau untuknya diturunkan daripada keluarga Anthus dari Arcadia yang diperihalkan oleh Plinius yang Tua dalam karya beliau Naturalis Historia yang anggotanya membuat ramai menjadi serigala jadian.[1] Eduard Rüppell mencadangkan bahawa haiwan ini merupakan leluhur bagi anjing pemburu penglihatan Mesir dan menamainya Wolf's-hund ("anjing serigala"),[20] sementara Charles Hamilton Smith menamainya "thoa" atau "thous dog".[21] Satu cubaan juga dilakukan pada tahun 1821 untuk mengacukkan kedua-dua spesies ini dalam kurungan lalu menghasilkan kelahiran lima ekor anak yang tiga ekor daripadanya mati sebelum bercerai susu. Kedua-dua yang terselamat diperhatikan tidak pernah bermain dengan satu sama lain dan mempunyai perangai yang sepenuhnya berlawanan; salah seekor mewarisi rasa malu jakal keemasan sementara yang lagi seekor sangat pengasih terhadap manusia penangkapnya.[7] Ahli biologi Inggeris St. George Jackson Mivart menegaskan perbezaan antara serigala Afrika dengan jakal keemasan dalam karangannya (terjemahan):

Ilustrasi kacukan jakal keemasan-serigala Afrika yang dibiakbakakan dalam kurungan (1821).

... ini soalan yang baik sama ada Jakal Am dari Afrika Utara patut atau tidak patut dianggap sebagai spesies sama [dengan jakal keemasan]... Pastinya perbezaan warna yang wujud antara bentuk ini tidak begitu sebesar yang dapat ditemukan terjadi antara keragaman tempatan berbeza bagi C. lupus. Walau bagaimanapun, kami cenderung... untuk mengekalkan perbezaan Jakal Afrika Utara dengan Jakal India... Sebab kami memilih untuk membezakan kedua-duanya buat sementara ialah walaupun perbezaan antara kedua-dua bentuk (Afrika dan India) adalah sedikit dari segi warna, itu tetap kelihatan sebagai yang tekal. Daripada tujuh belas kulit daripada bentuk India, kami hanya menemukan satu yang tidak mempunyai ciri utama dari segi perbezaan rona. Telinganya juga lebih pendek secara relatif daripada yang pada bentuk Afrika Utara. Tetapi ada lagi satu ciri yang padanya kami letakkan berat lebih tinggi. Walau bagaimanapun kebanyakan ras berlainan Serigala berbeza dari segi saiz, kami belum berjaya menemukan sebarang ciri distingtif tekal dari segi bentuk tengkorak atau perkadaran lobus bagi mana-mana gigi. Setakat yang dapat kami perhatikan, perbezaan sedemikian memang wujud antara Jakal India dengan Jakal Afrika Utara.

— Mivart (1890)[22]
Ilustrasi perbandingan antara C. aureus (atas) dengan C. anthus (bawah).

Canid-canid yang hadir di Mesir terutamanya diperhatikan sangat lebih mirip dengan serigala kelabu daripada populasi di tempat lain di Afrika sehingga Hemprich dan Ehrenberg menamainya nama binomial Canis lupaster pada tahun 1832. Demikian juga, Thomas Henry Huxley, sebaik memerhatikan persamaan antara tengkorak lupaster dengan serigala kelabu India, mengelaskan haiwan ini sebagai subspesies serigala kelabu. Walau bagaimanapun, haiwan ini lalu disinonimkan dengan jakal keemasan oleh Ernst Schwarz pada tahun 1926. Pengelasan ini kekal tidak dipersoalkan sehingga tahun 1981 apabila ahli zoologi Walter Ferguson dari Universiti Tel Aviv berhujah untuk lupaster sebagai subspesies serigala kelabu berdasarkan ukuran-ukuran tengkorak dengan menyatakan bahawa pengelasan haiwan ini sebagai jakal hanya berdasarkan saiz kecil haiwan ini dan mendahului penemuan C. l. arabs yang bersaiz perantaraan antara C. l. lupus dengan lupaster.[19]

Penemuan pada abad ke-21

[sunting | sunting sumber]

Kesangsian lanjut tentang kekonspesiesannya dengan jakal keemasan Eurasia bangkit pada Disember 2002 apabila seekor canid terlihat di Gurun Danakil di Eritrea yang penampilannya tidak padan dengan yang pada jakal keemasan atau enam spesies beriktiraf lain di kawasan itu tetapi sangat menyerupai yang pada serigala kelabu. Kawasan ini sebelum ini kebanyakannya kurang diterokai oleh sebab cuaca teruknya dan keterlibatannya dalam Perang Kemerdekaan Eritrea dan Perang Eritrea–Habsyah berikutnya tetapi ahli puak Afar mengenali haiwan ini dan merujuknya sebagai wucharia (serigala).[13]

Kualiti keserigalaan haiwan ini disahkan pada tahun 2011 apabila beberapa populasi "jakal" keemasan di Mesir dan di Tanduk Afrika yang dikelaskan sebagai Canis aureus lupaster ditemukan mempunyai jujukan-jujukan mtDNA yang lebih rapat menyerupai yang ditemukan pada serigala kelabu daripada yang pada jakal keemasan.[18] Jujukan-jujukan mtDNA keserigalaan ini ditemukan hadir menjangkau kawasan seluas 6,000 km termasuk Algeria, Mali, dan Senegal. Tambahan lagi, spesimen Afrika yang disampelkan memaparkan lebih banyak kepelbagaian nukleotid dan haplotip daripada yang hadir pada serigala kelabu India dan pada serigala kelabu Himalaya, lalu menunjukkan populasi leluhuran yang lebih besar dan populasi ekstan efektif yang terdiri daripada sekitar 80,000 ekor betina. Kedua-dua kajian ini mencadangkan pengelasan semula Canis aureus lupaster sebagai subspesies serigala kelabu.[23]

Pada tahun 2015, kajian perbandingan lebih mendalam tentang genom mitokondrion dan genom nuklear pada sampel lebih besar canid Afrika keserigalaan dari Afrika utara, timur, dan barat menunjukkan bahawa ia semua sebenarnya berbeza daripada jakal keemasan Eurasia dengan pencapahan genetik sekitar 6.7%,[5] yang lebih besar daripada yang antara serigala kelabu dengan koyote (4%) dan yang antara serigala kelabu dengan anjing bela jinak (0.2%).[24] Tambahan lagi, kajian menunjukkan bahawa canid-canid keserigalaan Afrika ini (dinamai semula Canis anthus, atau serigala keemasan Afrika) adalah lebih berkait rapat dengan serigala kelabu dan koyote daripada dengan jakal keemasan Eurasia dan bahawa C. a. lupaster hanya mewakili fenotip berbeza bagi serigala Afrika dan bukan sebaliknya serigala kelabu sebenar. Pokok filogenetik di bawah berdasarkan jujukan-jujukan nuklear:[5]





Jakal tepi berbelang



Jakal berbelakang hitam












Anjing



Serigala kelabu




Koyote




Serigala keemasan Afrika




Jakal keemasan




Serigala Habsyah




Anjing hutan





Anjing liar Afrika





Ada anggaran bahawa serigala keemasan Afrika mencapah daripada klad serigala–koyote pada 1.0–1.7 juta tahun lalu, semasa Pleistosen, dan lalu keserupaan luarannya dengan jakal keemasan Eurasia (terutamanya di Afrika Timur, tempat serigala Afrika serupa dari segi saiz dengan jakal keemasan) merupakan kes evolusi selari. Mempertimbangkan kedudukan filogenetik dan rekod fosil canid, serigala Afrika mungkin sekali mengalami evolusi daripada leluhur lebih besar yang secara progresif menjadi lebih kejakalan dari segi saiz sebaik menduduki Afrika oleh sebab persaingan antara spesies dengan kedua-dua karnivor asli lebih besar dan lebih kecil. Kesan DNA serigala keemasan dikenal pasti pada jakal keemasan di Israel yang menyempadani Mesir, lalu menunjukkan kehadiran zon kacukan.[5] Jumpaan kajian disokong pada tahun sama oleh ahli sains Sepanyol, Mexico, dan Maghribi yang menganalisis mtDNA serigala di Maghribi, yang menemukan bahawa spesimen yang dianalisis adalah berbeza daripada kedua-dua jakal keemasan Eurasia dan serigala kelabu tetapi mempunyai hubungan lebih rapat dengan serigala kelabu.[6] Kajian terhadap jujukan-jujukan RAD menemukan kejadian pengacukan serigala Afrika dengan kedua-dua anjing jalang dan serigala Habsyah.[25]

Subspesies

[sunting | sunting sumber]

Setakat 2015, MSW3 masih mengelaskan keenam-enam subspesies serigala Afrika sebagai sebahagian daripada Canis aureus.[26]

Walaupun pada masa lalu beberapa cubaan telah dilakukan untuk mensinonimkan banyak nama tercadang, kedudukan taksonomi bagi serigala Afrika Barat, terutamanya, terlalu mengelirukan untuk mencapai sebarang kesimpulan tepat, oleh sebab bahan kajian yang terkumpul adalah terlalu sedikit. Sebelum tahun 1840, enam daripada sepuluh subspesies Afrika Barat andaian dinamai atau dikelaskan hampir disebabkan sepenuhnya oleh warna bulunya.[27]

Keterlihatan variasi individual tinggi pada spesies, bersama dengan kejarangan sampel dan kekurangan penghadang fizikal di atas benua yang menghalang aliran gen, membawa kepada persoalan kevalidan sesetengah bentuk Afrika Barat.[27]

Tingkah laku

[sunting | sunting sumber]

Tingkah laku sosial dan pembiakan

[sunting | sunting sumber]

Organisasi sosial serigala Afrika adalah sangat fleksibel, berbeza-beza menurut ketersediaan dan taburan makanan. Unit sosial asasi ialah pasangan pembiakbakaan, diikuti oleh anak semasanya, atau anak daripada perinduk sebelumnya yang tinggal sebagai "pembantu".[14] Kelompok besar adalah jarang dan hanya telah tercatat hadir di kawasan dengan buangan manusia banyak. Hubungan keluarga sesama serigala Afrika adalah agak damai berbandingan dengan yang sesama jakal berbelakang hitam; walaupun tingkah laku seks dan wilayah pada anak yang membesar ditindas oleh pasangan pembiakbakaan, ia tidak dihalau dengan giat sebaik mencapai kedewasaan. Serigala Afrika juga baring bersama-sama dan membersihkan satu sama lain dengan jauh lebih kerap daripada jakal berbelakang hitam. Di Serengeti, pasangan mempertahankan wilayah kekal sebesar 2–4 km² dan akan meninggalkan wilayahnya hanya untuk meminum atau apabila terumpan oleh bangkai besar.[3] Pasangan meronda dan menanda wilayahnya bersama-sama. Kedua-dua pasangan dan pembantu akan bertindak balas secara langsang terhadap penceroboh biarpun kelangsangan terbesar disimpan untuk penceroboh berjantina sama; anggota pasangan tidak membantu satu sama lain dalam menangkis penceroboh berjantina berlawanan.[3]

Postur ancaman pada C. a. lupaster (kiri) dan pada C. a. anthus (kanan)

Ritual perasmaraan serigala Afrika sejelasnya panjang, yang semasanya pasangan pembiakbakaan hampir tetap kekal bersama-sama. Sebelum pengawanan, pasangan meronda dan menanda wilayahnya dengan bau. Persanggamaan didahului dengan si betina menaikkan ekornya dan menyudutkannya dengan cara untuk mendedahkan genitalianya. Kedua-dua menghampiri satu sama lain, mengongoi, mengangkat ekor, dan meremangkan bulu, menunjukkan keamatan yang berbeza-beza bagi tingkah laku serangan dan pertahanan. Si betina menghidu dan menjilat genital si jantan, sementara si jantan menggesel-geselkan hidungnya pada bulu si betina. Kedua-duanya mungkin mengelilingi satu sama lain dan berlawan sejenak. Ikatan persanggamaan berlangsung sekitar empat minit. Menghampiri penghujung estrus, pasangan berpisah, dengan yang si betina kerap menghampiri si jantan dalam cara lebih menyerah daripada si jantan. Menurut gerak hati terhadap peranan, si jantan akan menjaga dan membesarkan anak, memuntahkan atau menyerahkan sebarang makanan yang dipunyai olehnya kepada si betina. Di Serengeti, anak serigala dilahirkan pada Disember–Januari, dan akan mula memakan makanan pepejal selepas sebulan. Cerai susu bermula pada umur dua bulan dan tamat pada umur empat bulan. Pada peringkat ini, anak serigala separa bergantung dan meneroka sehingga sejauh 50 meter dari sarang, serta tidur di lapangan. Tingkah laku permainannya meningkat menjadi lebih langsang, dengan persaingan pangkat sesama anak serigala, yang diasaskan selepas enam bulan. Si betina memberikan makanan kepada anak dengan lebih kerap daripada si jantan atau pembantu, biarpun kehadiran pembantu membolehkan pasangan pembiakbakaan meninggalkan sarang dan memburu tanpa meninggalkan perinduk tanpa perlindungan.[3]

Kehidupan serigala Afrika berpusat di sekitar rumah korok, yang biasanya terdiri daripada tanah babi tanah atau babi hutan yang terbiar dan terubah suai. Struktur dalaman lubang ini tidak difahami dengan baik walaupun disangkakan terdiri daripada sebuah kamar pusat tunggal dengan 2–3 laluan keluar. Rumah korok boleh terletak di kedua-dua kawasan terpencil atau juga dekat dengan sarang pemangsa lain.[29]

Komunikasi

[sunting | sunting sumber]

Serigala Afrika kerap membersihkan satu sama lain, terutamanya semasa perasmaraan, mungkin selama ½ jam. Gigitan kecil pada muka dan leher diperhatikan semasa upacara alu-aluan. Semasa bergaduh, serigala Afrika menghentam lawannya dengan pinggulnya, dan menggigit dan menggoyangkan bahu. Postur spesies ini secara tipikalnya kanin dan ia mempunyai lebih mobiliti muka daripada jakal berbelakang hitam dan jakal tepi berbelang dengan kebolehan untuk mendedahkan gigi asunya seperti anjing.[3]

Perbendaharaan kata serigala Afrika adalah serupa dengan yang pada anjing bela jinak, dengan tujuh bunyi yang tercatat.[16] Penyuaraan serigala Afrika termasuk raungan, salakan, deraman, ngongoian, dan kekekan.[3] Subspesies boleh dikenal pasti menurut perbezaan raungan.[16] Salah satu bunyi yang paling kerap didengar ialah raungan tinggi dan tajam yang daripadanya ada tiga keragaman; raungan berterusan bernada tunggal panjang, raungan yang menaik dan menurun, dan satu siri raungan pendek dan staccato. Raungan-raungan ini digunakan untuk mengusir penceroboh dan menarik anggota keluarga. Raungan berkorus disangkakan memperkukuh ikatan kekeluargaan serta menetapkan status wilayah.[3]

Tingkah laku perburuan

[sunting | sunting sumber]
Seekor serigala Serengeti (C. a. bea) yang memandu arah melalui sekawan gnu biru di Taman Negara Ngorongoro, Tanzania

Serigala Afrika jarang menangkap kelinci oleh sebab kelajuannya. Ibu-ibu gazel (yang kerap bekerja berkelompok dua atau tiga) menggerunkan apabila mempertahankan anak melawan serigala satu demi satu, yang jauh lebih berjaya dalam memburu anak gazel apabila bekerja secara berpasangan. Sepasang serigala akan mencari secara berkaedah anak gazel yang tersembunyi dalam kawanan, di kawasan rumput tinggi, di semak, dan di tempat persembunyian yang mungkin.[3]

Walaupun ia diketahui membunuh haiwan yang beratnya sehingga tiga kali ganda berat dirinya, serigala Afrika menyasarkan mangsa mamalia dengan jauh kurang kerap daripada jakal berbelakang hitam secara keseluruhan.[3] Mengenai penangkapan mangsa lebih besar, serigala Afrika tidak membuat cubaan untuk membunuhnya; sebaliknya ia merobek perutnya dan memakan dalamannya. Mangsa kecil biasanya dibunuh dengan menggoncangnya, tetapi ular boleh dimakan hidup-hidup daripada hujung ekor. Serigala Afrika kerap membawa lebih daripada makanan yang mampu dimakan olehnya, dan mengumpulkan lebihan, yang pada amnya diperoleh semula dalam jangka masa 24 jam.[29] Apabila mengumpulkan serangga sebagai makanan, serigala Afrika berpaling kepada longgokan tinja untuk mencari kumbang tinja. Semasa musim kering, ia mengorek bebola tinja untuk mencapai larva di dalamnya. Belalang dan anai-anai terbang ditangkap sama ada dengan meloncat kepada serangga ini semasa di atas darat atau semasa terbang. Ia segarangnya tidak bertoleransi terhadap pebangkai lain kerana pernah diketahui mendominasi hering dalam pembunuhan – seekor boleh menahan berbelas-belas ekor hering dengan mengancam, bersuara putus-putus, atau menekak.[3]

Serigala Afrika mendiami sebilangan habitat berlainan; di Algeria ia hidup di kawasan pinggir laut dan kawasan berbukit Mediterranean (termasuk tanah ladang berpagar hidup, hutan semak samun, hutan pain, dan hutan oak), sementara populasi di Senegal mendiami zon iklim separa gersang tropika termasuk savana Sahel. Populasi serigala di Mali telah didokumenkan di masif gersang Sahel.[23] Di Mesir, serigala Afrika mendiami kawasan pertanian, tanah tandus, tepian gurun, kawasan berbatu, dan cenuram. Di Tasik Nasser, ia hidup dekat dengan pesisir tasik.[15] Pada tahun 2012, serigala Afrika difotografkan di Provinsi Azilal di Maghribi pada ketinggian 1,800 meter.[4][30] Kelihatannya ia hidup dengan baik di kawasan dengan kepadatan manusia tinggi dan populasi mangsa semula jadi rendah seperti yang terjadi di daerah Enderta di Habsyah utara.[31]

Serigala Serengeti (C. a. bea) yang memakan cicak Agama

Di Afrika Barat, serigala Afrika kebanyakannya membatasi diri kepada mangsa kecil seperti kelinci, tikus, tupai tanah, dan tikus tebu. Item mangsa lain termasuk cicak, ular, dan burung bersarang tanah seperti francolin dan bustard. Ia juga membunuh anak gazel, duiker, dan babi hutan.[29] Di Afrika Timur, ia memakan invertebrat dan buah-buahan, walaupun 60% dietnya terdiri daripada rodensia, cicak, ular, burung, kelinci, dan gazel Thomson.[14] Semasa musim anak gnu, serigala Afrika hanya akan memakan urinya.[16] Di Serengeti dan di Kawah Ngorongoro, kurang daripada 20% dietnya datang daripada pebangkaian. Di Senegal, yang di situ terdapat bersama-sama kedua-dua C. a. anthus dan C. a. lupaster, suatu darjah segregasi ceruk terlihat dari segi pilihan mangsa; C. a. anthus dikatakan terutamanya memakan anak biri-biri sementara C. a. lupaster memakan mangsa besar seperti biri-biri, kambing, dan lembu.[23]

Musuh dan pesaing

[sunting | sunting sumber]

Serigala Afrika pada amnya mudah menghindari persaingan dengan jakal berbelakang hitam dan jakal tepi berbelang dengan mendiami habitat lain (tanah rumput dan bukan sebaliknya hutan tertutup dan terbuka yang lebih dipilih kedua-dua spesies jakal tadi) dan menjadi lebih giat pada siang.[32] Walau bagaimanapun, serigala Afrika diketahui membunuh anak jakal berbelang hitam,[14] tetapi juga diperhatikan didominasi oleh yang dewasanya semasa pertikaian mengenai bangkai.[16] Ia kerap memakan bersama dengan anjing liar Afrika dan akan mempertahankan pendiriannya jika anjing tersebut mencuba untuk mengganggunya.[3] Persemukaan dengan serigala Habsyah biasanya agonistik dengan serigala Habsyah yang mendominasi serigala Afrika jika serigala Afrika memasuki wilayahnya, dan sebaliknya. Walaupun serigala Afrika bukan pemburu rodensia yang cekap dan lalu bukan berpersaingan terus dengan serigala Habsyah, terdapat kemungkinan bahawa penindasan keras oleh manusia menghalang serigala Afrika daripada mencecah bilangan yang cukup besar untuk menyesarkan serigala Habsyah sepenuhnya.[33] Walau bagaimanapun, terdapat sekurang-kurangnya satu rekod mengenai kawanan serigala Afrika yang mengadopsi seekor serigala Habsyah jantan.[34]

Serigala akan memakan bersama dengan dubuk berbintik biarpun akan dikejar jika terlalu dekat. Dubuk berbintik kadang-kadang akan mengikuti serigala semasa musim anak gazel kerana serigala sangat cekap dalam menjejak dan menangkap anak haiwan. Dubuk tidak bersedia memakan daging serigala; empat ekor dubuk dilaporkan mengambil empat jam untuk memakan seekor serigala. Pada keseluruhan, kedua-dua haiwan biasanya mengabaikan satu sama lain apabila tidak ada makanan atau anak yang dipertaruhkan.[35] Serigala akan menghadap dubuk yang terlalu dekat dengan sarangnya dengan mengambil giliran untuk menggigit keting dubuk itu sehingga ia berundur.[3]

Serigala di Serengeti diketahui membawa parvovirus anjing, herpesvirus anjing, koronavirus anjing, dan adenovirus anjing.[14]

Wilayah dan status

[sunting | sunting sumber]

Di Tanzania, serigala Afrika terhad kepada sebuah kawasan kecil di utara di antara cerun barat Gunung Kilimanjaro dengan pusat Serengeti. Di kawasan pusat Serengeti, ia kebanyakannya hadir di dataran rumput pendek, di lantai Kawah Ngorongoro, dan di dataran di antara Kawah Olmoti dengan Kawah Empakai, jarang secara relatif di Taman Negara Serengeti, di Loliondo, dan di cagar alam Maswa. Spesies ini juga mendiami kawasan Tasik Natron dan Kilimanjaro Barat. Ia kadang-kadang ditemukan di bahagian utara Taman Negara Arusha, dan sejauh Manyara di selatan. Di kawasan yang di situ ia kerap, seperti dataran rumput pendek Taman Negara Serengeti dan Kawah Ngorongoro, kepadatan populasi boleh berjulat antara 0.5–1.5 spesimen per km2. Penurunan populasi sebanyak 60% telah dicatatkan di dataran selatan Taman Negara Serengeti sejak awal tahun 1970-an, tetapi sebab-sebabnya tidak diketahui.[36]

Dalam cerita rakyat

[sunting | sunting sumber]
Tangkal gangsa berbentuk serigala dari Zaman Plotemy Mesir (711–30 SM)

Serigala merupakan templat bagi banyak dewa Mesir Purba, termasuk Anubis, Wepwawet, dan Duamutef.[37] Menurut Diodorus Siculus, kota Lykopolis di Mesir dinamai sempena sekawan serigala yang menentang serangan Habsyah.[38] Cerita rakyat Arab Mesir mengisahkan bahawa serigala boleh memengsankan ayam kerana ketakutan hanya dengan lalu di bawah reban dan mengaitkan bahagian badannya dengan pelbagai bentuk kuasa magis rakyat: penempatan lidah serigala di dalam rumah dipercayai menyebabkan penghuninya berbalah dan dagingnya disangkakan berguna dalam perawatan kegilaan dan gila babi. Jantungnya dipercayai melindungi pemegangnya daripada serangan haiwan liar sementara matanya boleh memberikan perlindungan menentang mata jahat.[9]

Sungguhpun dianggap haram dalam hukum diet Islam, serigala adalah penting dalam perubatan rakyat Maghribi.[10] Edvard Westermarck mengarang tentang beberapa ubat yang didapatkan daripada serigala di Maghribi, termasuk penggunaan lemaknya sebagai losen, pemakanan dagingnya untuk merawat penyakit pernafasan, dan pembakaran ususnya dalam ritual pewasapan untuk meningkatkan kesuburan pasangan nikah. Pundi hempedu serigala dikatakan mempunyai pelbagai kegunaan, termasuk perawatan mati pucuk dan kegunaan sebagai tangkal untuk wanita yang berhajat untuk bercerai dengan suami. Walau bagaimanapun, Westermarck memerhatikan bahawa serigala juga dikaitkan dengan sifat lebih keji: ada kisah bahawa anak yang memakan daging serigala sebelum kebalighan akan selama-lamanya disumpah dengan sial dan bahawa para katib dan orang keramat mengelak daripada memakannya walaupun di kawasan dengan penerimaan sosial terhadapnya, kerana itu akan menjadikan tangkal mereka tidak berguna.[11]

Serigala Afrika tidak kerap dalam seni batu Neolitik tetapi kadang-kadang muncul; penggambaran tentu ditunjukkan pada dinding gua Kef Messiouer di Provinsi Tébessa di Algeria dengan serigala memakan bangkai babi hutan bersama dengan sekawan singa. Ia memainkan peranan dalam mitologi Barbar, terutamanya yang di Ait Seghrouchen di Maghribi, dengan peranannya yang serupa dalam cerita rakyat seperti rubah merah dalam fabel Eropah Zaman Pertengahan tetapi ia kerap menjadi mangsa kepada landak kecil yang lebih licik.[39]

Serigala memainkan peranan penting dalam mitos penciptaan dalam agama Serer yang dalamnya ia dipandang sebagai makhluk hidup pertama yang dicipta oleh Roog, Tuhan dan Pencipta Agung.[12][40] Dalam satu aspek, ia boleh dilihat sebagai penyelam bumi yang diutus ke Bumi oleh Roog, dan dalam lagi satu aspek, sebagai nabi terhina kerana melanggar hukum tuhan. Serigala merupakan makhluk cerdik di Bumi dan dipercayai akan kekal di Bumi selepas manusia telah kembali kepada tuhan. Orang Serer mempercayai bahawa bukan sahaja ia terlebih dahulu mengetahui orang yang akan mati tetapi ia terlebih dahulu menjejak orang yang akan pergi menghadiri pengebumian. Pergerakan serigala ini diperhatikan dengan berhati-hait oleh sebab haiwan ini dipandang sebagai peramal yang datang dari luar pemikiran dan mengekalkan hubungan dengannya. Walaupun dipercayai disisihkan di dalam semak oleh haiwan lain dan kecerdikan aslinya dikurangkan, ia masih dihormati oleh sebab ia berani menentang yang agung yang masih mengekalkan kehidupannya.[12]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ a b Cuvier, Frédéric (1824), Histoire naturelle des mammifères, tome 2, A Paris : Chez A. Belin ... (Perancis)
  2. ^ {{{assessors}}} (2008). Canis aureus. Senarai Merah Spesies Terancam IUCN 2008. IUCN 2008. Dicapai pada 22 Mac 2009.
  3. ^ a b c d e f g h i j k l m n Estes, Richard (1992). "The behavior guide to African mammals: including hoofed mammals, carnivores, primates". Akhbar Universiti California. hlm. 398–404. ISBN 0-520-08085-8.
  4. ^ a b c d Rachid Tarik, "Le loup apparaît dans la région d'Azilal"[pautan mati kekal], Le Matin (29 April 2013) (Perancis)
  5. ^ a b c d e f g Koepfli, K.-P.; Pollinger, J.; Godinho, R.; Robinson, J.; Lea, A.; Hendricks, S.; Schweizer, R. M.; Thalmann, O.; Silva, P.; Fan, Z.; Yurchenko, A. A.; Dobrynin, P.; Makunin, A.; Cahill, J. A.; Shapiro, B.; Álvares, F.; Brito, J. C.; Geffen, E.; Leonard, J. A.; Helgen, K. M.; Johnson, W. E.; O'Brien, S. J.; Van Valkenburgh, B.; Wayne, R. K. (17 Ogos 2015). "Genome-wide Evidence Reveals that African and Eurasian Golden Jackals Are Distinct Species". Current Biology. 25: 2158–2165. doi:10.1016/j.cub.2015.06.060. PMID 26234211.
  6. ^ a b Urios, Vicente; Donat-Torres, Maria P.; Ramírez, Carlos; Monroy-Vilchis, Octavio; Hamid Rgribi-Idrissi (2015): El análisis del genoma mitocondrial del cánido estudiado en Marruecos manifiesta que no es ni lobo (Canis lupus) ni chacal euroasiático (Canis aureus). figshare. doi:10.6084/m9.figshare.1524971 (Sepanyol)
  7. ^ a b Cuvier, Frédéric (1824), Histoire naturelle des mammifères, tome 3, A Paris : Chez A. Belin ... (Perancis)
  8. ^ Golden jackal: A new wolf species hiding in plain sight, The Guardian, (30 Julai 2015)
  9. ^ a b c d Osborn, Dale. J.; Helmy, Ibrahim (1980). "The contemporary land mammals of Egypt (including Sinai)". Field Museum of Natural History, hlm. 360–371
  10. ^ a b Bidwell, M. dan Bidwell, R. (2005), The Traveller's Companion, Edisi Kedua, Tauris Parke Paperbacks, hlm. 228, ISBN 1845111079
  11. ^ a b Westermarck, E. (2013), Ritual and Belief in Morocco: Vol. II, Routledge Revivals, ISBN 1317912616
  12. ^ a b c Gravrand, Henry (1990), "La Civilisation Sereer - Pangool", jil. 2. Les Nouvelles Editions Africaines du Senegal, hlm. 201−203, ISBN 2-7236-1055-1 (Perancis)
  13. ^ a b Tiwari, J. K.; Sillero-Zubiri, C. (2004). "Unidentified Canid in Horn of Africa" (PDF). Canid News. 7: 5.
  14. ^ a b c d e f g h i j k Jhala, Y. V. dan Moehlman, P. D. 2004. Golden jackal Canis aureus Diarkibkan 2007-10-12 di Wayback Machine. In Sillero-Zubiri, C., Hoffman, M. dan MacDonald, D. W., ed., Canids: Foxes, Wolves, Jackals and Dogs - 2004 Status Survey and Conservation Action Plan, 156–161. IUCN/SSC Canid Specialist Group, ISBN 2-8317-0786-2
  15. ^ a b Hoath, Richard (2009), A Field Guide to the Mammals of Egypt, Akhbar Universiti Amerika di Kaherah, hlm. 70–73, ISBN 9774162544
  16. ^ a b c d e Kingdon, Jonathan (1988). "East African mammals: an atlas of evolution in Africa, Volume 3, Part 1". Akhbar Universiti Chicago. hlm. 18-22. ISBN 0-226-43721-3.
  17. ^ a b Mivart, George (1890), Dogs, Jackals, Wolves and Foxes: A Monograph of the Canidæ, R.H. Porter, London, hlm. 41–43
  18. ^ a b Rueness, E. K.; Asmyhr, M. G.; Sillero-Zubiri, C.; MacDonald, D. W.; Bekele, A.; Atickem, A.; Stenseth, N. C. (2011). Gilbert, Thomas M (penyunting). "The Cryptic African Wolf: Canis aureus lupaster is Not a Golden Jackal and is Not Endemic to Egypt". PLoS ONE. 6 (1): e16385. doi:10.1371/journal.pone.0016385. PMC 3027653. PMID 21298107.
  19. ^ a b Ferguson, W.W. (1981). "The systematic of Canis aureus lupaster (Carnivora : Canidae) and the occurrence of Canis lupus in North Africa, Egypt and Sinai". Mammalia. 4: 459–465. doi:10.1515/mamm.1981.45.4.459.
  20. ^ Rüppell, Eduard (1826), Atlas zu der Reise im nördlichen Afrika, Frankfurt am Main : Gedruckt und in Commission bei Heinr. Ludw. Brönner, hlm. 44–46 (Jerman)
  21. ^ Smith, Charles Hamilton; Jardine, Sir William (1839). The natural history of dogs : canidae or genus canis of authors; including also the genera hyaena and proteles, Jilid I. Edinburgh : W. H. Lizars. hlm. 193–194
  22. ^ Mivart, George (1890), Dogs, Jackals, Wolves and Foxes: A Monograph of the Canidæ, R.H. Porter, London, hlm. 36–37
  23. ^ a b c d Gaubert P, Bloch C, Benyacoub S, Abdelhamid A, Pagani P, dll. (2012). "Reviving the African Wolf Canis lupus lupaster in North and West Africa: A Mitochondrial Lineage Ranging More than 6,000 km Wide". PLoS ONE. 7 (8): e42740. doi:10.1371/journal.pone.0042740. PMC 3416759. PMID 22900047.
  24. ^ Wayne, Robert K. (1993). "Molecular evolution of the dog family". Trends in Genetics. 9 (6): 218–224. doi:10.1016/0168-9525(93)90122-X. PMID 8337763.
  25. ^ Bahlk, S. H. (2015). Can hybridization be detected between African wolf and sympatric canids? . Master of Science Thesis. Pusat Sintesis Ekologi dan Evolusi Jabatan Biosains Fakulti Matematik dan Sains Semula Jadi, Universiti Oslo, Norway
  26. ^ Wozencraft, W. C. (2005). "Order Carnivora". Dalam Wilson, D. E.; Reeder, D. M (penyunting). Mammal Species of the World (ed. 3rd). Johns Hopkins University Press. m/s. 532–628. ISBN 978-0-8018-8221-0. OCLC 62265494.CS1 maint: ref=harv (link)
  27. ^ a b Rosevear, Donovan Reginald (1974). "The carnivores of West Africa". London : Trustees of the British Museum (Natural History). hlm. 38–44. ISBN 1-175-10030-7.
  28. ^ a b c d e Lydekker, Richard (1908). "The Game Animals of Africa". London, R. Ward, terhad. hlm. 459–461
  29. ^ a b c Rosevear, Donovan Reginald (1974). "The carnivores of West Africa". London : Trustees of the British Museum (Natural History). hlm. 46–47. ISBN 1-175-10030-7.
  30. ^ Moliner, V. U., Ramírez, C., Gallardo, M., dan Idrissi, H. R. (2012), "Detectan el lobo en Marruecos gracias al uso del foto-trampeo", Quercus, 319:14-15, ISSN 0212-0054 (Sepanyol)
  31. ^ Yirga, G. et al. "Densities of spotted hyaena (Crocuta crocuta) and African golden wolf (Canis anthus) increase with increasing anthropogenic influence", Elsevier, Jilid 413, Bahagian B, 22 Ogos 2016, hlm. 7–14
  32. ^ Fuller, T.K.; Biknevicius, A.R.; Kat, P.W.; Van Valkenburgh, B.; Wayne, R.K. (1989). "The ecology of three sympatric jackal species in the rift valley of kenya". African Journal of Ecology. 27: 313–323. doi:10.1111/j.1365-2028.1989.tb01025.x.
  33. ^ Gutema, T. M., Foraging ecology and trophic niche overlap between sympatric African wolf and Ethiopian wolf in the Ethiopian Highlands, The Rufford Foundation (November 2015)
  34. ^ Sillero-Zubiri, C.; Gottelli, D. (1994). "Canis simensis" (PDF). Mammalian Species. 385: 1–6. Diarkibkan daripada yang asal (PDF) pada 2015-09-24. Dicapai pada 2017-03-08.
  35. ^ Kruuk, Hans (1972). The Spotted Hyena: A Study of Predation and Social Behaviour. Chicago, Illinois, Amerika Syarikat: Akhbar Universiti Chicago. ISBN 0-226-45507-6.
  36. ^ Foley, C. et al. (2014), A Field Guide to the Larger Mammals of Tanzania, Akhbar Universiti Princeton, hlm. 102–103, ISBN 1400852803
  37. ^ Remler, P. (2010), Egyptian Mythology, A to Z, Infobase Publishing, hlm. 99, ISBN 1438131801
  38. ^ Burton, Anne (1973), Diodorus Siculus, Book 1: A Commentary, BRILL, hlm. 259, ISBN 9004035141
  39. ^ G. Trécolle dan G. Camps, « Chacal », in 12 | Capsa – Cheval, Aix-en-Provence, Edisud (« Volumes », no 12) , 1993 [dalam talian], diterbitkan dalam talian pada 1 Mac 2012, dirujuk pada 19 November 2015. URL : http://encyclopedieberbere.revues.org/2099
  40. ^ Thiaw, Issa laye, "Mythe de la création du monde selon les sages sereer", hlm. 45−50, 59−61 [in] "Enracinement et Ouverture" – "Plaidoyer pour le dialogue interreligieux", Konrad Adenauer Stiftung (23–24 Jun 2009), Dakar (Perancis)

Bacaan lanjut

[sunting | sunting sumber]
  • Cheryl Lyn Dybas, "A Wolf in Jackal's Clothing", Africa Geographic (Julai 2012)
  • Cheryl Lyn Dybas, "In the Long Shadow of the Pyramids and Beyond: Glimpse of an African… Wolf?", International Wolf Center (Musim Bunga 2015)
  • Hugo van Lawick dan Jane Goodall (1971), Innocent Killers, Houghton Mifflin Company Boston

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]