Terowong
Terowong merupakan laluan yang bawah tanah dengan bukaannya hanya di kedua-dua belah penghujung terowong tersebut. Terowong dibina dengan mengorek di dalam tanah. Sesebuah terowong boleh jadi laluan pejalan kaki, laluan basikal atau motosikal, terowong jalan raya atau lebuh raya, terowong keretapi, ataupun laluan air. Dalam sesebuah projek lebuh raya atau jalan keretapi, kos pembinaan sesebuah terowong adalah sangat mahal dan memakan masa yang lama berbanding struktur-struktur lain yang terlibat.
Bagaimana terowong dibina
suntingTerowong boleh dikorek menembusi pelbagai jenis tanah atau batuan, dan cara pembinaan terowong amat bergantung kepada struktur tanah atau batuan.
Korek dan tutup
suntingTerowong jenis korek dan tutup adalah jenis yang paling murah dan paling mudah. Terowong sedemikian dibina di kawasan tanah yang cetek. Laluan terowong dikorek menggunakan jengkaut dan kemudian terowong dibina dengan cara yang sama seperti membuat bangunan biasa sebelum ditimbus semula dengan tanah. Terowong tersebut mestilah mempunyai tiang-tiang yang kuat untuk mengelakkannya daripada runtuh. Contoh terowong korek dan tutup di Malaysia adalah Terowong Ampang dan Terowong Bukit Bintang di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Mesin pengorek terowong
suntingMesin pengorek terowong (TBM) adalah sebuah jentera besar yang berfungsi bagi proses pengorekan terowong secara automatik dan lebih pantas. Jenis-jenis TBM yang digunakan adalah bergantung kepada keadaan tanah atau batuan. Namun, pada masa yang tertentu, mata penggerudi mesin tersebut juga perlu ditukar. Sungguhpun demikian, kaedah pembinaan terowong menggunakan mesin pengorek terowong adalah yang paling popular kerana memudahkan proses pembinaan. Contoh terowong yang dibina di Malaysia dengan menggunakan TBM ialah Terowong SMART, Terowong Genting Sempah di Lebuhraya Karak, Terowong Menora di Lebuhraya Utara-Selatan dan terowong LRT Aliran Kelana Jaya di Kuala Lumpur.
Gerudi dan letup
suntingKaedah gerudi dan letup adalah cara lama yang digunakan bagi membina terowong sebelum terciptanya mesin pengorek terowong. Kaedah sebegini masih digunakan di sesetengah terowong kerana struktur tanah atau batuan yang rapuh menyukarkan penggunaan mesin TBM. Contoh terowong di Malaysia yang dibina dengan menggunakan kaedah ini ialah Terowong Penchala di Lebuhraya Penyuraian Trafik KL.
Kaedah-kaedah lain
suntingKaedah lain yang digunakan untuk membuat terowong adalah seperti membina dinding dan menutupnya untuk membentuk terowong.
Pemilihan pembinaan terowong
suntingKos pembinaan sesebuah terowong adalah sangat mahal. Misalnya, kos pembinaan Terowong SMART adalah sejumlah RM1.8 bilion, oleh itu terowong biasanya dibina atas sebab-sebab berikut:-
- Bagi terowong bawah laut atau sungai, laluan air yang luas mengehadkan gantungan jambatan, malah jika jambatan dibina dengan gantungan yang terhad akan menyukarkan kapal-kapal untuk melalui laluan air tersebut.
- Memulihkan kualiti udara di bandaraya besar dengan mengalihkan laluan trafik ke bawah tanah.
- Membolehkan kawasan tanah bandaraya yang bernilai tinggi dimanfaatkan dengan projek pembangunan yang menguntungkan.
- Bagi laluan pergunungan, pembinaan terowong juga mengurangkan kesan buruk terhadap alam sekitar akibat penarahan bukit semasa pembinaan jalan raya.
Keselamatan dalam terowong
suntingPembinaan terowong adalah tertakluk kepada tahap piawaian keselamatan yang sangat tinggi kerana pekerja yang terlibat dalam pembinaan terdedah kepada risiko terowong runtuh. Risiko sedemikian juga turut membabitkan pengguna terowong setelah terowong tersebut siap. Sebagai ciri keselamatan, sesebuah terowong mestilah dilengkapi dengan laluan kecemasan bagi membolehkan pengguna meninggalkan terowong dengan selamat apabila sesuatu kejadian yang buruk berlaku di dalam terowong seperti kebakaran.
Selain itu, terowong juga mestilah mempunyai sistem pengudaraan yang baik, memandangkan hanya terdapat dua sahaja laluan udara di dalam terowong secara fizikal.
Kebakaran adalah salah satu ancaman terbesar terhadap sesebuah terowong kerana haba daripada kebakaran yang berterusan akan melemahkan struktur terowong tersebut, yang seterusnya boleh mengakibatkan terowong tersebut runtuh. Untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini, setiap terowong dilengkapi dengan pasukan keselamatan yang terdiri daripada pasukan bomba dan polis. Pasukan keselamatan tersebut bertugas memantau keselamatan terowong 24 jam sehari.
Terowong terpanjang
suntingDunia
sunting- Terowong keretapi terpanjang: Terowong Seikan, Jepun (panjang: 53.85 km; juga terowong terpanjang di dunia)
- Terowong jalan raya terpanjang: Terowong Lærdal, Norway (panjang: 24.5 km)
Malaysia
sunting- Terowong keretapi terpanjang: Terowong LRT Aliran Kelana Jaya, Kuala Lumpur (panjang: -- km)
- Terowong jalan raya terpanjang: Terowong SMART, Kuala Lumpur (panjang: 3.3 km; laluan air: 9.7 km)