[go: up one dir, main page]
More Web Proxy on the site http://driver.im/Pergi ke kandungan

Ekstremisme Islam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Keganasan Islam)

Ekstremisme Islam ialah pendapat sesat yang berpendirian bahawa agama Islam dan para pengikutnya harus memperjuangkan taraf politik dan agama mereka secara agresif. Serupa dengan kenyataan bahawa orang militan Muslim hanya merupakan sebahagian para penganut agama Islam, begitu juga penyokong-penyokong keganasan dan terorisme hanya merupakan sebahagian para penganut Islam Militan. Oleh sebab Islam Militan seringnya dikaitkan dengan keganasan dan terorisme, maka penamaan seseorang sebagai pengikut Islam Militan kini seringnya menimbulkan banyak perbalahan. Para pengkritik yang menentang penamaan ini sering mendakwa bahawa terdapat sikap berat sebelah dan/atau prasangga terhadap penggunaan istilah ini.

Kelompok-kelompok yang menyokong Islam sebagai satu gerakan poltik sedang bergerak balas terhadap keadaan-keadaan politik dan sejarah yang rumit yang berakar umbi di kawasan tempatan masing-masing. Umpamanya, kebangkitan parti Jamaat-e-Islami yang konservatif di Bangladesh tidak akan dapat dimungkinkan tanpa gerak balas orang awam yang meluas terhadap amalan rasuah kerajaan sekular Liga Awami di negara itu. Akan tetapi sejarah politik tempatan yang rumit ini hilang sekaligus dalam reduksionisme istilah yang terlalu mudah, umpamanya istilah fundamentalisme Islam, yang akhirnya tidak dapat memberikan banyak penerangan kecuali menyalahkan berbagai-bagai masalah keagamaan yang dihadapi bersama-sama oleh negara-negara kurang maju, termasuk keganasan dan kekurangan demokrasi.

Sebenarnya, penggunaan istilah "sikap militan Islam" adalah terlalu luas sehingga merangkumi sebarang gerakan pemberontakan di mana-mana negara Islam. Oleh itu, gerakan-gerakan nasionalisme, marxisme, dan kelompok etnik digolongkan bersama-sama sehingga istilah ini hilang sebarang kandungan ideologi yang benar. Satu-satunya ciri pentakrifan istilah ini adalah bahawa ia merujuk kepada sikap militan dalam konteks Islam, akan tetapi ini masih tidak dapat menerangkan apa-apa.

Para ahli gerakan-gerakan tersebut mungkin lebih menganggap diri sebagai pejuang kebebasan dan bukannya pengganas kerana asal politik gerakan-gerakan ini di Israel, serta juga di wilayah Palestin, Afghanistan Soviet, Chechnya, dan paling terkini di Iraq pasca-Saddam seringnya berasaskan tuntutan-tuntutan untuk kenegaraan dan pemerintahan sendiri. Dalam masyarakat-masyarakat yang memiliki kebanyakan orang Muslim, sentimen-sentimen faham kebangsaan seringnya dicampurkan dengan perasaan identiti Muslim untuk menghasilkan sebuah ideologi Faham Jamiah Islam atau Faham Islam. Gerakan yang paling bersifat antarabangsa ialah Al Qaeda yang berasal daripada perjuangan faham kebangsaan, iaitu pemberontakan terhadap keluarga diraja Arab Saudi. Rejim Saudi tersebut telah dianggap sebagai terlalu berkait dengan dasar luar negeri Amerika Syarikat, khususnya bantuannya kepada Amerika Syarikat semasa pembebasan Kuwait dalam Perang Teluk yang pertama. Oleh sebab ideologi Al Qaeda merupakan ideologi nasionalisme dan perpaduan Faham Jamiah Islam, rejim Saudi diperlihatkan sebagai tidak cukup bersifat Islam, suatu pandangan yang memang membingungkan orang-orang Barat yang tidak dapat membayangkan ciri-ciri yang lebih bersifat Islam, berbanding dengan hukum-hukum Islam Wahhab. Khususnya kepada Al Qaeda, dunia ini dilihat sebagai suatu perjuangan antara ideologi Islam dengan ideologi Barat yang sekular. Sesetengah pemerhati telah mencadangkan bahawa pandangan dunia sebegini secara ironi telah diperkukuh oleh Perang Terorisme.


Sifat militan sebagai satu ciri pentafsiran

[sunting | sunting sumber]

Tiadanya satu doktrin

[sunting | sunting sumber]

Sebagaimana yang digariskan dengan teliti oleh para cendekiawan yang mengkaji gerakan Islam Militan di dalam sangat banyak karya sehingga dan pada sepanjang dekad 1970-an, tidak terdapat banyak persamaan taktik antara satu gerakan sama lain yang mencuba menggunakan Islam mahupun yang mempergunakan istilah-istilah Islam untuk memberi rasional terhadap penyelesaian masing-masing kepada persoalan-persoalan dunia Islam moden. Hanya dua perkara yang objektif boleh dinyatakan tentang gerakan-gerakan Islam Militan, iaitu:

  • mereka bersikap militan dan mempergunakan paksaan atau keganasan secara langsung, baik untuk menyerang mahupun untuk mempertahankan diri; dan
  • mereka memberikan justifikasi untuk berbuat demikian dengan mempergunakan retorik Islam, umpamanya jihad.

Ini merupakan sebuah fenomena yang biasa dan sering berlaku dalam sejarah Islam. Tariqah, selain daripada menyebarkan Islam ke Afrika dan menyesuaikannya kepada keadaan-keadaan tempatan (urf atau adat setiap kawasan), telah memainkan peranan yang utama dalam penentangan dasar penjajahan — inilah punca Islam sebagai sebuah agama militan yang "tertindas" yang mendorong tentangan-tentangan terhadap pihak pemerintahan yang berkuasa yang bukannya Muslim atau berpegang teguh pada ajaran-ajaran Islam. Empayar Turki Uthmaniyyah serta juga Empayar British ditandai dengan pertempuran-pertempuran sebegini kerana biasanya terdapat pemberontakan terdapat salah satu daripada kedua-dua empayar tersebut pada mana-mana masa yang mempergunakan Islam untuk memberikan justifikasi kepada tindakan-tindakan mereka.

Olivier Roy, seorang penasihat dasar Perancis kepada Presiden Jacques Chirac, mencirikan matlamat Islam Militan moden sebagai bertujuan untuk mengasaskan semula sebuah Kekalifahan, atau sebuah kerajaan tunggal untuk semua orang Muslim di seluruh dunia. Dari sesetengah segi, ini merupakan sebuah kerajaan dunia atau hierarki Roman Katolik. Bagaimanapun, oleh sebab kebanyakan orang Muslim adalah daripada golongan Sunah Waljamaah yang menolak peranan keimaman (berbeza dengan golongan Syiah), pelaksanaan sebuah rejim sebegini adalah amat rumit.

Lebih daripada "fundamentalisme"

[sunting | sunting sumber]

Fundamentalisme Islam, mengikut takrifnya, tidak bersifat militan. Bagaimanapun, ahli-ahli fundamentalisme Islam umumnya mungkin mempunyai setakat persetujuan atau simpati terhadap para militan Islam kerana terdapat setakat pertindihan antara sudut-sudut pandangan mereka. Walaupun demikian, serupa dengan seseorang yang mungkin memegang sudut-sudut pandangan sayap kiri tanpa menyokong Marxisme revolusi, terdapat juga perbezaan yang ketara antara kedua-dua kumpulan ahli fundamentalisme Islam.

Penggunaan istilah fundamentalisme berpotensi dipergunakan untuk menghina agama sebagai suatu penyelesaian terhadap masalah-masalah dunia sekular moden. Adalah berbaloi untuk memerhatikan bahawa banyak aspek gerakan-gerakan yang berbagai-bagai, termasuk mazhab-mazhab Gereja Baptis, Mennon, Quaker, Yahudi Ortodoks, Zionisme, dan faham Wahhab, boleh dikatakan bersifat fundamentalisme dan mungkin juga "ketinggalan zaman". Tetapi tanpa menghiraukan implikasi-implikasi istilah ini, persamaan para ahli fundamentalisme ialah penentangan mereka terhadap sebuah monokultur politik sejagat yang kelihatan membangkit pada masa itu.

Istilah Islamis (bahasa Inggeris: Islamist ) pada mula-mulanya digunakan di dunia Barat untuk menghuraikan mereka yang berpendirian bahawa Islam merupakan sebuah falsafah politik sejak dari mula-mula lagi. Berbagai-bagai label telah dilahirkan daripada istilah ini, dari "Islamis radikal" ke "fundamentalis Islam" sehingga "Islamofasis", dengan kesemuanya mempunyai tahap-tahap nada kritis dan ketepatan yang berbeza-beza.

Gerakan-gerakan militan abad ke-20

[sunting | sunting sumber]

Supaya dapat memahami asal gerakan-gerakan Islam, adalah lebih elok bahawa peranan Tariqah dalam penyebaran Islam, serta juga dua buah gerakan yang lain dipertimbangkan lebih dahulu. Kedua-dua gerakan tersebut ialah gerakan Deobandi dan gerakan faham Wahab yang tidak dianggap sebagai militan mahupun radikal, tetapi telah mempengaruhi tokoh-tokoh utama dalam falsafah Islam moden serta juga peristiwa-peristiwa taktik yang melahirkan rasional untuk Islam Militan moden. Untuk pengolahan gagasan-gagasan tersebut yang lebih luas dalam konteks, sila lihat falsafah Islam moden. Terdapat juga sebuah gambaran keseluruhan yang lebih menyeluruh tentang Islam sebagai sebuah gerakan politik yang tidak menumpukan perhatian kepada para militan mahupun kepada ideal-ideal mereka yang khusus.

Gerakan Deobandi

[sunting | sunting sumber]

Di India, gerakan Deobandi berkembang sebagai satu gerak balas terhadap penindasan orang-orang Muslim oleh pihak British, serta juga pengaruh Sayed Ahmad Khan yang menyokong reformasi dan pemodenan Islam. Dinamai sempena nama bandar Deoband yang merupakan tempat lahir gerakan ini, Gerakan Deobandi diasaskan di sekitar sekolah-sekolah Islam (khususnya, Darul Uloom), dan mengajar suatu pentafsiran Islam yang menggalakkan kaum wanita menurut perintah, dengan banyak bentuk teknologi dan hiburan tidak digalakkan. Mereka hanya mempercayai bahawa wahyu dan bukannya pengetahuan manusia harus dipatuhi.

Walaupun falsafah Deobandi amat bersifat dakwah dan ingin menyingkirkan pengaruh bukan Muslim (iaitu Hindu atau Barat) daripada masyarakat-masyarakat Muslim, ia tidak terlalu ganas mahupun tidak begitu agresif dalam kegiatan menarik orang ramai menjadi penganut baru. Sebaliknya, mereka membatasi kegiatan-kegiatan mereka, terutamanya dalam pembinaan madrasah.

Madrasah-madrasah ini kini berjumlah sebanyak berpuluh-puluh ribu di seluruh Asia, khususnya di Pakistan dan India, dengan kesemua ini masih merupakan teras gerakan Deobandi. Ahli-ahli Deobandi merupakan sebahagian masyarakat Muslim yang besar di kawasan tersebut, dengan pengikut-pengikut Sayed Ahmad Khan merupakan golongan minoriti yang bererti. Gerakan Taliban di Afghanistan adalah salah satu hasil daripada falsafah dan madrasah Deobandi.

Istilah "madrasah" merupakan sepatah istilah yang boleh mengelirukan kerana ia boleh merujuk kepada apa-apa sahaja dari kolej Bible Amerika sehingga kem latihan pengganas. Serupa juga, istilah "taliban" yang membawa pengertian "murid" juga boleh mengelirukan dalam sesetengah keadaan.

Sayyid Abul Ala Maududi

[sunting | sunting sumber]

Sayyid Abul Ala Maududi ialah seorang tokoh awal abad ke-20 yang penting di India, dan kemudiannya di Pakistan selepas kemerdekaan daripada Britain. Amat dipengaruhi oleh ideologi Deobandi, beliau menyokong penciptaan sebuah negara Islam yang diperintah oleh Syariat Islam, sebagaimana ditafsirkan oleh majlis-majlis Syura. Maududi mengasaskan gerakan Jamaat-e-Islami pada tahun 1941 dan merupakan ketuanya sehingga tahun 1972. Menuju Pemahaman Islam (bahasa Arab: Risalat Diniyat), bukunya yang amat berpengaruh, menempatkan Islam dalam konteks moden sebagai suatu peluasan hukum alam. Sudut pandangan yang radikal ini membolehkan bukan sahaja para ulama konservatif tetapi juga para penyokong pemodenan liberal seperti al-Faruqi menyertai gerakannya. Karya al-Faruqi yang berjudul Pengislaman Pengetahuan mengandungi sebilangan prinsip utama Maududi, terutamanya kesesuaian asas antara Islam dengan sudut pandangan etika dan sains. Memetik dari karya Maududi sendiri:

Segala-galanya di dunia ini merupakan 'Muslim' kerana semuanya mematuhi Tuhan dengan berserah kepada hukumNya... Kerana dalam seluruh hidupnya, dari peringkat embrionik hinggalah hancurnya badan menjadi debu selepas mati, setiap tisu ototnya dan setiap anggota badannya mengikut laluan yang telah ditetapkan oleh hukum Tuhan. Lidahnya sendiri, yang disebabkan oleh kejahilannya menafikan Tuhan atau mengakui berbilang tuhan, sebenarnya merupakan 'Muslim'... Orang yang menafikan Tuhan dipanggil Kafir (penyembunyi) kerana dia menyembunyikan dengan rasa tidak percayanya apa yang merupakan tabiinya dan diawet dalam rohnya. Seluruh badannya berfungsi menurut naluri tersebut... Realiti menjadi renggang daripadanya dan dia meraba-raba di dalam gelap.

Tersirat dalam sudut-sudut pandangan ini ialah sikap tidak bertoleransi tentang pemerintahan orang bukan Muslim terhadap orang Muslim kerana orang bukan Muslim, menurut tafsiran Maududi, memang tidak berupaya memahami hukum alam — jika mereka faham, mereka sudah menjadi orang Muslim.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Bacaan tambahan

[sunting | sunting sumber]
  • The Truth About Muhammad: Founder of the World's Most Intolerant Religion oleh Robert Spencer
  • The Politically Incorrect Guide to Islam (And the Crusades) oleh Robert Spencer
  • Onward Muslim Soldiers oleh Robert Spencer
  • The Legacy of Jihad oleh Andrew G. Bostom
  • Islam and Dhimmitude: Where Civilizations Collide oleh Bat Ye'or
  • Decline of Eastern Christianity: From Jihad to Dhimmitude oleh Bat Ye'or
  • The Al Qaeda Connection: International Terrorism, Organized Crime, And the Coming Apocalypse oleh Paul L. Williams
  • An Autumn of War: What America Learned from September 11 and the War on Terrorism oleh Victor Davis Hanson
  • Jihad: The Trail of Political Islam oleh Gilles Kepel
  • The War for Muslim Minds oleh Gilles Kepel
  • Esposito, John L. (2003). Unholy War: Terror in the Name of Islam. Percetakan Universiti Oxford, Amerika Syarikat. ISBN 0-19-516886-0.