[go: up one dir, main page]
More Web Proxy on the site http://driver.im/Pergi ke kandungan

Dunia Ketiga

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
"Tiga dunia" zaman Perang Dingin seperti yang digambarkan antara April 1975 dan Ogos 1975.
  Dunia Pertama: Amerika Syarikat, United Kingdom dan sekutu mereka.
  Dunia Kedua: Kesatuan Soviet, China dan sekutu mereka.
  Dunia Ketiga: Negara-negara yang neutral dan berkecuali.

Istilah "Dunia Ketiga" (bahasa Inggeris: Third World) muncul semasa Perang Dingin untuk merujuk kepada baki negara yang kekal tidak memihak dengan NATO mahupun Blok Komunis. Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Korea Selatan, negara-negara Eropah Barat dan sekutunya mewakili Dunia Pertama manakala Kesatuan Soviet, China, Cuba dan sekutu mereka mewakili Dunia Kedua. Peristilahan ini merupakan suatu cara mengkategorikan negara-negara dunia kepada tiga kumpulan berdasarkan pembahagian politik dan ekonomi.

Bahagian Dunia ini dilihat termasuk banyak negara dengan sejarah penjajahan di Afrika, Amerika Selatan, Oceania and Asia. Dunia ini turut dikaitkan dengan negara-negara yang berada dalam Pergerakan Negara-Negara Berkecuali. Dalam teori kebergantungan (dependency theory) yang dipelopori pemikir seperti Raúl Prebisch, Walter Rodney, Theotonio dos Santos dan Andre Gunder Frank, Dunia Ketiga ini juga dikaitkan dengan pembahagian ekonomi dunia di mana sistem dunia yang terbahagi ini terdiri daripada "negara-negara teras" (core countries) yang menguasai "negara-negara pinggiran" (periphery countries).[1]

Disebabkan oleh sejarah kompleks berkembang makna dan konteks ini, tidak ada pentakrifan yang jelas atau dipersetujui mengenai Dunia Ketiga.[1] Ada beberapa negara dalam Blok Komunis seperti Cuba yang sering dianggap sebagai "Dunia Ketiga". Keadaan ekonomi banyak negara Dunia Ketiga yang lemah dan tidak maju menyebabkan wujudnya stereotaip bahawa negara-negara miskin dirujuk sebagai "negara-negara dunia ketiga", namun lingkungan "Dunia Ketiga" ini juga sering termasuk negara-negara industri yang baru seperti Brazil, India dan China sekarang lebih sering disebut sebagai sebahagian daripada "gabungan BRIC" (Brazil, Rusia, India dan China). Dari segi sejarahnya, terdapat beberapa negara Eropah berkecuali daripada mana-mana blok politik yang mempunyai tahap ekonomi sangat makmur termasuk Ireland, Austria, Sweden, Finland dan Switzerland.

Beberapa dekad sejak kejatuhan Soviet Union dan pengakhiran Perang Dingin ini, istilah Dunia Ketiga digunakan secara bertukar-tukarnya dengan negara-negara yang kurang membangun serta yang sedang membangun, namun konsep ini dengan sendirinya telah dianggap lapuk pada beberapa tahun kebelakangan ini kerana ia tidak mewakili keadaan politik atau ekonomi dunia semasa.

Istilah ini dicipta Alfred Sauvy, seorang ahli demografi, ahli antropologi dan sejarawan Perancis dalam satu rencana majalah L'Observateur yang ditulisnya pada 14 Ogos 1952 (istilah asal dalam Perancis: Tiers Monde) untuk merujuk kepada negara-negara yang tidak memihak kepada blok Soviet yang berfahaman Komunis mahupun blok NATO yang berfahaman Kapitalis sewaktu Perang Dingin.[2] Ia merupakan gaya pengibaratannya kepada Estet Ketiga iaitu masyarakat awam yang menentang Estet Pertama pimpinan para agamawan dan Estet Kedua pimpinan pemerintahan beraja Perancis sewaktu sebelum dan semasa Revolusi Perancis. Sauvy menulis bahawa "dunia ketiga ini yang diabaikan, dipergunakan dan dibenci sepertimana estet ketiga juga mahu menjadi sesuatu."[3] Beliau memberikan gambaran konsep keberkecualian politik dengan blok kapitalis atau blok komunis.[4]

Bantuan pembangunan

[sunting | sunting sumber]

Pada masa Perang Dingin, negara-negara dalam blok ini[5] dipandang sebagai sekutu potensial oleh Dunia Pertama dan Kedua. Amerika Syarikat dan Kesatuan Soviet berlumba-lumba membina hubungan dengan menawarkan bantuan ekonomi dan ketenteraan demi mendapat sekutu strategik (misalnya Amerika Syarikat di Vietnam atau Uni Soviet di Kuba).[5] Pada penghujung Perang Dingin ini, banyak negara Dunia Ketiga yang menggunakan model ekonomi kapitalis atau komunis dan terus dibantu oleh pihak yang dipilih negara-negara ini. Sepanjang berlakunya tempoh Perang Dingin dan sesudahnya, negara-negara Dunia Ketiga menjadi kepentingan penerima bantuan luar negara Barat dan pembangunan ekonomi melalui teori-teori arus utama seperti teori modernisasi dan teori kebergantungan.[5] Pada akhir 1960-an, gagasan Dunia Ketiga mewakili negara-negara Afrika, Asia, dan Amerika Latin yang dianggap berkembang oleh Barat berdasarkan sejumlah faktor (pembangunan ekonomi rendah, taraf hidup rendah, tahap kemiskinan dan penyebaran penyakit tinggi, dan sebagainya).[6] Negara-negara ini menjadi sasaran bantuan negara-negara yang lebih kaya (pemerintahan, LSM, dan individu). Model tahap pertumbuhan Rostow berpendapat bahwa pembangunan terjadi dalam lima tahap (masyarakat tradisional; menjelang lepas amabnag; lepas ambang; kedewasaan ekonomi; tingginya kepnegunaan khalayakl).[7] W. W. Rostow berpendapat bahwa "lepas ambang" adalah tahap penting yang belum dicapai oleh dunia ketiga. Lantas, bantuan luar negara diperlukan untuk mendorong industrialisasi dan pertumbuhan ekonomi dalam negara-negara tersebut.[7]

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ a b Tomlinson, B.R. (2003). "What was the Third World", Journal of Contemporary History, 38(2): 307–321.
  2. ^ Gregory, Derek et al. (Eds.) (2009). Dictionary of Human Geography (Edisi ke-5), Wiley-Blackwell.
  3. ^ Terjemahan harfiah daripada bahasa Perancis, teks asal: « ...car enfin, ce Tiers Monde ignoré, exploité, méprisé comme le Tiers Etat, veut lui aussi, être quelque chose »
  4. ^ Wolf-Phillips, Leslie (1987). "Why 'Third World'?: Origin, Definition and Usage", Third World Quarterly, 9(4): 1311-1327.
  5. ^ a b c Tomlinson, B.R. (2003). "What was the Third World", Journal of Contemporary History, 38(2): 307–321.
  6. ^ Ralat petik: Tag <ref> tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama Gregory2
  7. ^ a b Westernizing the Third World (Ch 2), Routledge